`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 9, 2023

Umrah: Malaysia-Arab Saudi bincang isu kenaikan kos hotel, kata menteri

 

Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata isu kenaikan kos memberi impak kepada jemaah umrah Malaysia dan negara lain. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Isu kenaikan kos umrah akibat peningkatan mendadak kadar penginapan hotel di Mekah dan Madinah akan dibawa kepada pengetahuan kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Na’im yang kini berada di Arab Saudi untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 berkata, beliau akan mengemukakan isu itu kepada menteri haji negara tersebut.

“Merujuk kepada laporan pada masa ini, berlaku kenaikan kadar harga hotel di Mekah dan Madinah yang dikenakan oleh pengusaha hotel, saya amat memahami perkara ini sedikit sebanyak telah membangkitkan keresahan jemaah umrah.

“Seperti mana sedia maklum, perkara ini adalah di luar kawalan pihak kita. Kami melihat situasi ini adalah impak daripada kenaikan kos di Arab Saudi. Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah Malaysia bahkan kepada jemaah negara lain juga,” katanya di Facebook.

Katanya, beliau mengharapkan pihak agensi umrah mempertimbangkan ruang dan kaedah terbaik supaya kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

Sebelum ini, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menjelaskan harga pakej umrah dinaikkan pada saat akhir berpunca kenaikan mendadak kadar hotel di Mekah dan Madinah.

Kenaikan itu dipercayai berpunca daripada permintaan tinggi di hotel terutama di kota Madinah berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas situasi pandemik Covid-19 beransur pulih.

“Bukan harga hotel sahaja yang meningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak.

“Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.