`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 2, 2024

Kerajaan perkenal undang-undang lebih tegas tangani buli siber, kata Anwar

 

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi impak psikologi seperti penderaan mental sehingga berupaya mengancam keselamatan serta nyawa seseorang. (Bernama pic)

BUKIT MERTAJAM
Kerajaan akan memperkenal undang-undang lebih tegas bagi menangani isu buli siber yang dilihat semakin membimbangkan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rang undang-undang berkaitan perkara itu dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang.

“Kita akan perkenalkan undang-undang buli siber yang lebih tegas… dan saya ada minta badan-badan seperti SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), polis ambil tindakan maksimum yang mungkin, jangan tolak ansur,” katanya pada program Temu Anwar di Karnival Generasi Ada Idea (Gen-AI) di tapak Parkir Gravitas Jalan Baru Prai.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Kounikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din.

Anwar berkata meskipun Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara namun isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi impak psikologi seperti penderaan mental sehingga berupaya mengancam keselamatan serta nyawa seseorang dan tindakan tegas perlu diambil bagi mengatasinya.

“Kebebasan bukan untuk kamu dera orang. Kebebasan bukan untuk kamu menghina orang, mengaibkan orang… meskipun Malaysia memperjuang kebebasan dan keadilan, negara ini tidak akan sesekali membiarkan sebarang bentuk penindasan, penghinaan serta penderaan berlaku,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.