`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 20, 2026

Antara gagasan Melayu-Malaysia Zahid dan retorik Melayu-Melayu Akmal

Akmal Saleh mungkin lebih popular berbanding Zahid Hamidi tetapi Akmal tidak memperlihatkan kenegarawanan bagi Melayu dan Malaysia.

tajuddin rasdi

Dalam artikel ini saya ingin membandingkan apa yang saya faham daripada perbincangan Umno Besar Zahid Hamidi dengan Umno Kecil Akmal Saleh. Saya tidak mahu menggunakan istilah Pemuda Umno sebab pandangan Akmal bukan mewakili semua kepimpinan sayap. Jelas bagi saya Akmal mencabar Zahid dan pemimpin-pemimpin tua seperti Tok Mat, Khaled Nordin dan Zambry Abdul Kadir dengan retorik beliau, di sebalik alasan ‘anak nakal’.

Akmal banyak menyinggung DAP dan juga nak bantai-bantai orang. Akmal juga tukang jual ubat untuk PAS berhubung cadangan menghidupkan Muafakat Nasional. Akmal juga mengusulkan Umno keluar daripada kerajaan Madani dan menjadi pembangkang yang ‘bermaruah’. Mari kita analisis dulu cadangan Akmal ini sebagai seorang Melayu, Muslim dan rakyat Malaysia.

Pertama, Akmal asyik menyebut-nyebut bahawa maruah Melayu dan Islam tercabar dengan isu-isu seperti KK Mart, bendera terbalik dan kerenah DAP dalam isu sijil halal serta Najib. Jelas bahawa Akmal hanya bermain politik perkauman sebab targetnya orang Cina dan DAP. Dalam permainan populis, memang mudah nak menang undi kalau meniup isu perkauman meskipun boleh memudaratkan hubungan antara Melayu dan bukan Melayu.

Dalam hal mencari pasal dengan DAP, Akmal menunjukkan sifat tidak pragmatik sebagai ahli politik yang enggan bekerjasama dengan seteru politik. Dalam hal ini, sukar bagi demokrasi menghasilkan kerajaan campuran kalau ada satu ahli daripada satu kumpulan asyik menembak rakan sepasukan. Jarang sekali saya melihat Akmal menembak parti pembangkang seperti PAS dan Bersatu.

Dalam hal menjadi pembangkang, Akmal mungkin fikir rakyat sebodoh pengikutnya. Kalau Umno keluar Madani dan bersekongkol dengan PN, hanya tak sampai 10 kerusi, kerajaan boleh bertukar tangan. Keadaan ini lah definisi ketidakstabilan politik yang menggusarkan pelabur-pelabur asing untuk bertandang. Saya rasa Akmal tidak berfikir sepanjang itu.

Akhir sekali, soalan saya kepada Akmal, kalau sayang Melayu, kenapa tak ajak Amanah dan Bersatu sekali? Kenapa hanya eksklusif Melayu dalam MN saja? Terbukti bahawa Akmal tidak berminat dengan payung besar Melayu tetapi hanya kawan-kawan dia saja.

Sekarang kita lihat bagaimana Zahid memberi gagasan beliau yang lebih terbuka, progresif dan pragmatik. Pertama, era satu parti memerintah sudah terkubur. Apa yang ada adalah kompromi parti campuran bersendikan kepercayaan sesama sendiri dan hormat sesama parti. Dalam jalinan baru ini cara Akmal mengecam-ngecam satu parti kawan sebagai sasaran eksklusif adalah tidak pragmatik dan tidak mempunyai professional respect langsung. Zahid berkata Umno pragmatik dan mahukan setiakawan dalam perjanjian kerjasama. Umno bukan parti yang akan mengkhianati janji, tidak seperti parti lain yang melaungkan Islam.

Yang kedua, Zahid mencadangkan suatu gabungan besar Melayu yang boleh menerima sesiapa sahaja tanpa menggugat kestabilan kerajaan Madani. Zahid mengambil serius amanat Yang di-Pertuan Agong dalam mentadbir Malaysia bersama parti lawan, secara adil dan saksama. Sekali gus, Zahid telah merungkai cadangan Umno-PAS yang hanya untuk dua parti saja serta tidak pragmatik.

Yang ketiga, Zahid berkali-kali mengulang bahawa PAS tidak boleh dipercayai. Kalau dahulu, walau ia mempunyai bilangan kerusi yang sedikit, ia mentalak Umno untuk menubuhkan Perikatan Nasional, apakah nasib Umno dalam gabungan yang mana PAS mempunyai kekuatan kerusi yang lebih banyak.

Akhir sekali, Zahid mencadangkan jalan progresif dan lebih menyeluruh bagi Umno dan masa depan Malaysia. Umno perlu melawan sendiri perasaan benci kepada parti lain serta lebih melihat kepada kerjasama isu sosial serta ekonomi untuk masa depan bersama. DAP bukan musuh Umno tetapi korupsi, ekonomi, tidak toleransi dan benci-membenci merentas kaum serta agama.

Akhir kata, Akmal mungkin lebih popular berbanding Zahid tetapi Akmal tidak memperlihatkan ‘statesmanship’ atau kenegarawanan bagi Melayu dan Malaysia. Di bawah kepimpinan Zahid, Umno kembali sebagai wadah orang Melayu yang membangkitkan semua rakyat manakala Akmal hanya suka minum kopi dengan kawan-kawan di Kota Bharu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.