
Akar umbi Umno benci DAP. Kalau bukan semua, ramai. Sejak sekian lama tetapi lebih memuncak pada zaman Dr Mahathir Mohamad memimpin Umno selama 22 tahun. Namun semasa Mahathir mengepalai Pakatan Harapan dan menumpaskan Umno-BN pada 2108, DAP ada dalam gabungan itu. Mahathir mengakui beliau banyak main peranan supaya Umno dan orang Melayu membenci DAP.
Beliau mengakui DAP parti berbilang kaum yang menyokong Perlembagaan, bukan parti rasis yang beliau sendiri pernah tuduh. Kata Mahathir, lagu rasmi DAP pun dalam bahasa Melayu. “Semasa ada pertemuan bahasa kebangsaan digunakan.”
Apa pun semua yang diajar Mahathir kepada Umno untuk benci DAP memang berkesan. Kebencian itu berlarutan sehingga zaman Najib Razak jadi presiden, malah sekarang pun pada zaman Zahid Hamidi.
Kesimpulannya bak kata satu portal pro-Umno, Mahathir didik Umno benci DAP. Berkata pula Zahid, “doktrin Mahathir selama 22 tahun untuk Umno benci DAP.”
Sejak Umno jadi sebahagian kerajaan perpaduan, Zahid dan barisan kepimpinan mahu akar umbi terima DAP. Sedikit sebanyak berjaya tetapi amnya tidak. Akar umbi sukar melakukan itu. ‘Dulu kau suruh kami anti-DAP, sekarang suruh kami pro-DAP’. Mereka pula sukar memujuk pengundi Melayu kerana pengundi pula berkata, ‘dulu kau yang suruh kami tolak DAP sekarang suruh terima sokong’. Itu dilemanya.
Tak mungkin pemimpin dan akar umbi Umno boleh mengaku apa yang mereka tuduh DAP dahulu tidak betul. Oleh itu ada dalam kalangan pemimpin Umno yang mahu Umno hentikan kerjasama dengan DAP. Mereka kira itu akan mengembalikan sokongan Melayu kepada Umno sebab kebencian terhadap DAP yang mereka tanam dulu masih tertanam. Sama ada perkiraan itu betul atau sebaliknya terpulang interpretasi masing-masing.
Antara yang terpaling bising ialah Ketua Umno Akmal Saleh. Beliau mahu lawan DAP habis-habisan meskipun partinya dalam kerajaan peraduan bersama parti itu. Ketika merasmikan perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno tempoh hari, Timbalan Presiden Mohamad Hasan dalam ucapannya antara lain beri penjelasan mengapa Umno bekerjasama dengan DAP. Beliau mengakui ramai bertanya kenapa Umno masih tebal muka dalam kerajaan, dan kenapa duduk semeja dengan seteru lama yakni DAP. Menurut Mohamad:
“Yang di-Pertuan Agong bertitah meminta Umno walaupun kerusi kita tak banyak, untuk bantu tubuhkan kerajaan demi menyelamatkan negara. Kita masuk Kabinet untuk bina kestabilan.”
Saya pernah dengar justifikasi sedemikian oleh pemimpin Umno. Rasanya anda juga. Dua hari kemudian semasa di Perhimpunan Agung Umno, Mohamad beri justifikasi lagi, mungkin merasakan penjelasan awal tidak diterima akar umbi?
Tidak dinafikan antara tuduhan yang masih dilempar ialah Umno masuk kerajaan perpaduan kerana pemimpinnya gilakan jawatan. Walau apa pun sebabnya bagi saya Tok Mat agak defensive. Beriya-iya nak yakinkan ahli parti.
Dakwa beliau Umno terpaksa duduk dalam kerajaan untuk elak wujudnya PH 1.0. “Ada pihak yang rasa amat sakit hati, merasakan keberadaan Umno dalam kerajaan hari ini adalah duri dalam daging kepada mereka.” Mengapa? Menurut Mohamad, “kerana kita bantah apa mereka nak buat. Kalau Umno tak setuju dalam Kabinet maka Kabinet tak dapat persetujuan. Ini yang mereka rasa amat sakit hati dan apatah lagi apabila mereka kalah tanpa menang satu pun kerusi di Sabah.” Beliau tidak namakan siapa yang dimaksudkan, tetapi jelas merujuk DAP.
Zahid pula dalam ucapan penggulungan memuji menteri DAP dalam Kabinet yang secara konsisten menyokong semua inisiatif yang dirangka untuk menjaga kebajikan orang Melayu khususnya yang dalam sektor vulnerable.
Setelah memuji, Zahid mendakwa pula pelbagai kenyataan yang bertentangan dengan kepimpinan utama DAP datangnya daripada Team B. “Mereka pun ada ‘Team B’ juga. Saya sendiri jumpa Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.” Saya tidak pasti sama ada Zahid terpanggil berkata sedemikian agar tidak kelihatan bercanggah dengan kenyataan timbalannya.
Bagaimanapun reaksi DAP sehari kemudian ialah penafian Loke. Kata beliau apa yang dikata Zahid tidak masuk akal. “Logik ke saya kata begitu, bodohlah saya berada dalam politik untuk beritahu ada ‘Team B’ dalam parti ini kemudian saya maklumkan kepada parti lain. Saya nafikan sekerasnya dan tidak pernah cakap dengan Zahid berkenaan itu.”
Tampil Zahid buat penjelasan. Kata Zahid beliau tidak ada niat untuk mencadangkan wujudnya puak atau kem dalam DAP lalu beliau kesal jika kenyataannya menyinggung perasaan.
Menurut Zahid, maksud sebenar ucapannya adalah untuk mengatakan bahawa pandangan yang dilontarkan segelintir kecil individu dalam DAP yang didakwa bercanggah antara satu sama lain.
Mengambil kira penjelasan itu, kata kuncinya ialah ‘segelintir kecil individu dalam DAP’. Jadi mengapa akar umbi Umno terus membenci manakala ketua Pemudanya memerangi DAP keseluruhannya? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.