`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 20, 2026

Siapa tentukan benar dan salah?

Hari ini, di tempat kita ini, pertembungan benar-salah sangat jelas dan membuat kita sering tersepit dan serba salah.

ronasina

Sejak kita kenal dunia, kita difahamkan dengan satu konsep kehidupan iaitu tentang benar dan salah. Bermula dengan didikan di rumah dan kemudiannya di sekolah, kita diajar untuk memilih yang betul dan menjauhi yang salah.

Kita didedahkan bahawa garis pemisah antara benar dan salah itu jelas, statik dan tidak berubah. Seperti hitam itu hitam dan putih itu putih, tidak ada kompromi.

Namun apabila dewasa, kita mula menilai betul-salah itu melalui konteks dan prinsip. Dalam masyarakat yang kini semakin kompleks, kita mula sedar ada perkara yang dianggap betul oleh satu kelompok, dianggap salah pula oleh kelompok lain walaupun berkongsi agama, bangsa, sejarah dan perlembagaan. Tak usah cerita lagi perbezaan fahaman antara satu kaum dengan kaum lain atau perbezaan antara satu agama dengan agama yang lain, itu akan jadi lebih panjang dan berselirat. Isu satu bangsa berbeza parti politik atau isu satu agama berbeza aliran pun sudah cukup menyemakkan kepala. Masing-masing menggunakan hujah dan nas yang sama untuk membenarkan mereka sendiri dan menidakkan yang lainnya.

Persoalan yang timbul pada diri saya bukanlah apa yang betul atau siapa yang betul tetapi siapa yang menentukan apa itu betul. Apa yang saya faham selama ini ialah betul dan salah itu memang termasuk dalam hukum alam tetapi ia tak semestinya ‘tetap’ seperti tetapnya matahari yang terbit dan terbenam untuk menjadikan hari siang dan malam. Benar dan salah itu dibentuk melalui tafsiran. Ia merangkumi tafsiran agama, undang-undang, budaya dan kuasa. Di sinilah konsep benar dan salah sering bertembung antara tafsiran dan realiti hidup dalam konteks moral, politik dan sosial.

Hari ini, di tempat kita ini, pertembungan benar-salah sangat jelas dan membuat kita sering tersepit dan serba salah. Dalam politik khususnya, sesuatu tindakan boleh dianggap salah besar apabila dilakukan oleh pihak lawan, tetapi tiba-tiba menjadi boleh diterima, atau sekurang-kurangnya difahami, apabila dilakukan oleh kawan. Prinsip yang dulunya dilaungkan sebagai nilai sejagat berubah apabila kuasa bertukar tangan. Saya bukan hendak membahaskan betul atau tidak, tetapi saya bercakap tentang mengapa benar dan salah boleh berubah.

Bercakap tentang benar-salah atau adil dan zalim dalam politik, setiap kali berlaku perubahan kerajaan, kita mendengar naratif yang hampir sama iaitu keadilan akhirnya ditegakkan, sistem kini lebih telus, suara rakyat didengari atau ekonomi semakin baik. Namun pada masa yang sama, seperti yang pernah berlaku dahulu – tetap ada warga yang merasa tidak dilindungi, ditindas dan dipinggirkan. Jadi, di mana letaknya hakikat benar atau salah itu dan di mana pula duduk sebenarnya adil atau zalim yang dilaungkan itu? Yang nyata benar dan salah tadi sudah bertukar posisi.

Dacing keadilan sering diukur dari sudut pengalaman peribadi — bukannya realiti keseluruhan. Apabila kita tidak lagi merasa dizalimi, lantaran kita menyokong dasar-dasar pemerintah, maka kita percaya bahawa penindasan telah berakhir. Begitulah sebaliknya. Hakikat pahit yang jarang diakui ialah kuasa tidak menghapuskan ketidakadilan tetapi ia cuma menukar siapa yang tidak lagi berasa dizalimi.

Yang lebih kucar-kacir apabila konsep betul dan salah bukan sahaja dipolitikkan, tetapi juga disucikan melalui aliran tertentu dalam hidup beragama. Perbalahan tentang benar dan salah di antara aliran tidak pernah selesai. Apa yang dianggap benar oleh satu kumpulan boleh dianggap sesat, lemah atau berbahaya oleh kumpulan lain walaupun mereka bersolat ke arah kiblat yang sama dan membaca kitab yang sama.

Berbeza sebenarnya tak salah. Itu lumrah dalam tradisi intelektual dan keagamaan. Masalah timbul apabila satu tafsiran mula dianggap bukan setakat paling betul tetapi satu-satunya yang paling betul, lalu diberikan sokongan kuasa melalui sama ada institusi, undang-undang atau juga tekanan sosial. Apabila ini berlaku, betul dan salah tidak lagi menjadi ruang dialog yang sihat, sebaliknya menjadi alat yang mengikat dan menyempitkan. Amat menyedihkan apabila mereka yang berbeza pandangan bukan sekadar tidak bersetuju, tetapi dilabel sebagai ancaman, pembawa kerosakan atau musuh ketenteraman.

Di sinilah pertanyaan saya timbul: adakah sesuatu itu benar kerana ia memang benar, atau kerana ia disokong oleh majoriti atau badan berautoriti? Adakah sesuatu itu salah kerana ia memudaratkan manusia atau kerana ia mencabar struktur sedia ada?

Jika kita seorang berasa apa yang kita kata itu betul tetapi majoriti menyatakannya salah, apakah kita memang salah dan mereka betul secara mutlak?

Sejarah menunjukkan bahawa majoriti tidak sentiasa berada di pihak yang benar. Banyak ketidakadilan besar bermula sebagai norma yang diterima ramai. Sistem perhambaan misalnya dulu dianggap betul oleh majoriti dan yang menentang sistem tersebut datangnya daripada golongan pinggiran. Hari ini amalan perhambaan diiktiraf sebagai zalim dan berjaya dihapuskan.

Namun tidak semua minoriti membawa kebenaran. Ada yang menentang arus bukan untuk membebaskan tetapi untuk menguasai. Mereka bercakap tentang kebebasan tetapi menyisipkan mesej songsang atau pecah belah. Ada pula merengek tetapi pada masa yang sama melakukan pencerobohan.

Begitulah dunia. Akhirnya, yang berkuasa itulah yang menjadi penentu mutlak siapa benar dan siapa salah. Jika pemegang kuasa mencatatkan dalam buku sejarah bahawa kita ini pengkhianat, maka selamanya lah kita pengkhianat. Jika kita dilabel pejuang oleh pihak berkuasa walhal kita korup, maka pejuanglah kita.

Tetapi, pada masa yang sama harus kita akur juga jika pihak berkuasa tidak mengawal suara-suara kecil menuntut sesuatu yang mana seluruh dunia pun tak mengiktirafnya, keadaan tentu akan jadi lebih kacau. Kebebasan bersuara harus datang dengan tanggungjawab memelihara keamanan. Kebebasan bersuara bukan untuk disalah guna.

Tentang benar atau salah, saya sebagai orang Islam, faham dengan ayat 148 dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud, “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Maksud yang saya fahami ialah setiap kita ada arah masing-masing dan mungkin antara kita sering berselisih mengenainya tetapi yang paling penting ialah kita disuruh buat baik. Maksud ‘baik’ bagi saya lebih besar daripada betul dan salah itu sendiri. Berbuat baik bermaksud semua pihak menyenangi perbuatan kita dan tak berasa dianiaya oleh kita. Benar atau salah masih boleh dipertikaikan tetapi berbuat baik kepada semua manusia adalah maqam tertinggi dalam amalan kehidupan. Itu yang saya percaya.

Tentang betul dan salah, walau kita dikatakan pelik atau kita ini bilangannya sedikit, saya sentiasa percaya bahawa hanya Tuhan sahajalah penilai yang paling mutlak.

Alaisallahu bi ahkamil hakimin (bukankah Allah seadil-adil Hakim?).

Tetapi kita kenalah ada ilmu. Bukan berasa betul dengan main hentam kromo saja. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.