`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, February 20, 2026

Kemelut PN resahkan rakyat ketika negara berdepan isu kritikal, kata Mukhriz

 Presiden Pejuang berkata rakyat memerlukan tempat bergantung dan menyelamatkan negara dalam berdepan situasi yang didakwanya kelam-kabut.

mukhriz-mahathir
Mukhriz Mahathir gesa semua pihak yang masih menyimpan rasa cinta terhadap negara supaya mengetepikan segala perbezaan.
PETALING JAYA:
 Kemelut melanda Perikatan Nasional (PN) termasuk pergolakan dalaman Bersatu menyebabkan rakyat resah ketika negara berdepan pelbagai isu ketika ini, dakwa Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.

Dalam video di Facebook, bekas menteri besar Kedah itu berkata cerita kemelut dalam PN yang dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP sering dilihat kebelakangan ini.

“PAS dengan Bersatu nampak macam tidak sehaluan, dalaman Bersatu pun bergolak.

“Rakyat resah, kita semua termasuk kami di Pejuang, sedih dan risau bila tengok PN dalam keadaan macam itu,” kata Mukhriz yang juga bekas timbalan presiden Bersatu.

Mukhriz mendakwa lebih menyedihkan krisis itu berlaku ketika negara berdepan isu kritikal antaranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat, salah guna kuasa serta rasuah dan cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar.

PN kini berdepan isu pelantikan pengerusi yang kosong berkuat kuasa 1 Jan lalu susulan peletakkan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pemimpin PAS dan Bersatu juga dilihat saling berbalas kritikan serta kenyataan berhubung isu terbabit.

Gabungan itu akan bermesyuarat Ahad ini untuk memilih pengerusi yang baharu.

Muhyiddin turut berdepan krisis di Bersatu yang menyaksikan pemecatan timbalannya Hamzah Zainudin pada 13 Feb lalu selain gesaan supaya bekas perdana menteri itu berundur.

Media melaporkan Hamzah akan menyertai parti lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang didakwa menyokongnya.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata rakyat memerlukan tempat bergantung dan menyelamatkan negara dalam berdepan situasi yang didakwanya sebagai kelam-kabut.

“Walaupun PN tengah bergelut dengan masalah sendiri, dengan sokongan dari payung besar Melayu dan rakan-rakan pelbagai kaum, Pejuang yakin kita semua masih mampu menyelamatkan keadaan,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak yang masih menyimpan rasa cinta terhadap negara supaya mengetepikan segala perbezaan.

“Jangan biarkan sengketa membutakan kita daripada musuh sebenar.

“Pasanglah niat yang tulus ikhlas untuk bersama-sama membetulkan apa yang dirosakkan kerajaan sekarang ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.