Penganalisis berkata presiden Umno perlu sokongan majoriti kukuh Dewan Rakyat, sesuatu yang sukar ketika parti bukan lagi dominan.

Dalam podcast Keluar Sekejap, Khairy berkata peluang Zahid berubah daripada ‘hampir mustahil kepada agak besar’, susulan konflik dalaman berterusan parti lain serta kedudukan Umno yang dilihat lebih stabil.
Namun, penganalisis politik berpandangan peluang itu masih bergantung kepada faktor utama — jumlah kerusi yang mampu dimenangi Umno pada PRU akan datang.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kenyataan Khairy dibuat dalam konteks krisis dalaman parti lain, termasuk Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), selain ketegangan dalam kerajaan perpaduan.
“Saya menyifatkan kenyataan Khairy berdasarkan situasi semasa…berlaku masalah dalam Bersatu dan di pihak kerajaan pula Anwar (Ibrahim) menerima kritikan,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Zahid hanya berpeluang jika Umno mencatat lonjakan besar kerusi Parlimen.
“Bukan saya kata Zahid tidak ada peluang, tetapi jika Umno dapat 40 kerusi dan menjadi parti paling dominan dalam gabungan, barulah kemungkinan besar Zahid boleh diangkat menjadi perdana menteri,” katanya.
Katanya, jika keputusan PRU16 sekadar mengulangi prestasi pilihan raya lalu, sukar untuk parti lain mengangkat Zahid sebagai ketua kerajaan, terutama jika Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai blok terbesar.
Umno kini memiliki 26 kerusi Parlimen selepas PRU15.
Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata, secara realiti politik Zahid memerlukan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, sesuatu yang sukar dicapai memandangkan Umno bukan lagi parti dominan.
Katanya, ketika ini PAS kekal sebagai satu-satunya parti majoriti Melayu Islam yang stabil, manakala Umno masih berdepan isu persepsi negatif dalam kalangan pengundi.
“Umno berdepan isu persepsi negatif pengundi yang masih sukar untuk diatasi,” katanya.
Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata peluang Zahid ‘tidak mustahil’ namun bergantung kepada dinamika Parlimen tergantung dan rundingan pasca pilihan raya.
“Tanpa lonjakan besar kerusi, peluang itu masih bergantung pada rundingan politik,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.