Villanueva berkata pegawai kanan dari China dan Asean akan bertemu di Singapura minggu depan.

Jurucakap hal ehwal maritim DFA, Rogelio Villanueva, berkata pegawai kanan dari China dan Asean akan bertemu di Singapura.
Peningkatan kekerapan rundingan itu selaras usaha Filipina, selaku pengerusi Asean tahun ini, untuk mempercepat rundingan dan memuktamadkan CoC menjelang akhir 2026.
“Sebagai pengerusi Asean, Filipina komited meneruskan momentum dalam rundingan Kod Tatalaku yang substantif dan berkesan.
“Kami bersedia memudahkan lebih banyak mesyuarat. Malah, dengan kerjasama negara anggota Asean lain dan China, kami mengadakan mesyuarat secara bersemuka setiap bulan bagi meningkatkan peluang berunding,” katanya dalam sidang media di Pasay City pada Jumaat.
Kedua-dua pihak sedang membincangkan jadual bagi Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM) Filipina-China mengenai Laut China Selatan seterusnya.
Beliau berkata, Manila juga sedang memperkukuh pakatan dan perkongsian bagi menegakkan orde maritim berasaskan peraturan yang berpaksikan undang-undang antarabangsa.
Filipina kini mengekalkan 11 dialog maritim untuk meningkatkan keupayaannya.
“Walaupun DFA memperdalamkan pakatan dan perkongsian dengan negara mempunyai pemikiran serupa, ia juga mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan China untuk meneruskan dialog jujur, membina serta kerjasama praktikal,” kata Villanueva.
Sementara itu, beliau menyambut baik kesediaan Senat mengadakan perbincangan dengan Kedutaan China di Manila.
Menurutnya, DFA melihat rancangan dialog itu “peluang untuk perbincangan telus, mesra dan profesional – yang dapat menangani perbezaan kedudukan secara berterus-terang sambil mengenal pasti bidang persefahaman bersama”.
Senat sedang menyelaras dengan pihak kedutaan bagi menetapkan tarikh mesyuarat itu, katanya.
“Jika Senat hubungi DFA, kami pastinya sedia menghulurkan bantuan diperlukan,” kata Villanueva. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.