Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menunggu laporan terperinci Miti sebelum menentukan tindakan lanjut.

“Datuk Johari (Ghani) telah bagi penjelasan, kita akan dapat penjelasan teliti baru kita beri maklum balas.
“Tunggu mesyuarat Jumaat ini, kemudian kita tengok macam mana tindakannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan.
Perdana menteri berkata, kerajaan sedang mengkoordinasi dengan Washington dan negara Asean lain berhubung tarif baharu itu.
Semalam, Johari dilaporkan berkata, kerajaan sedang memantau rapi perkembangan di AS selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan tarif import Presiden Donald Trump.
Katanya, walaupun Malaysia sudah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS tahun lalu, Putrajaya belum meratifikasi perjanjian itu.
Kelmarin, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam melaksanakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.
Susulan itu, Trump mengumumkan tarif seragam 10% ke atas semua barangan import di bawah kuasa berasingan.
Malaysia dan AS memeterai perjanjian perdagangan timbal balas semasa Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Perjanjian itu mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Miti kini dalam proses menjalankan semakan dan analisis kos-manfaat terhadap perjanjian itu bagi melindungi kepentingan ekonomi serta kedaulatan Malaysia. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.