KPKM beri jaminan bekalan makanan asas seperti ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi dan stabil.

Menteri Mohamad Sabu berkata tiada laporan awal gangguan bekalan serius setakat ini kerana persiapan rapi telah dilakukan, selain memantau rantaian stok secara berterusan dari peringkat pengeluaran hingga pengedaran bagi menjamin kesinambungan barangan asas di pasaran.
Kementerian juga beri tumpuan pada pemerkasaan pengeluaran domestik, penyelarasan logistik serta pelaksanaan program jualan terus kepada pengguna, bagi menjamin akses kepada bekalan makanan tanpa kebimbangan terhadap kekurangan barangan keperluan di pasaran.
“KPKM memberi jaminan bekalan makanan asas seperti ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah mencukupi dan stabil di seluruh negara bagi menampung keperluan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
“Pemantauan data semasa menunjukkan sumber pengeluaran domestik stabil dan mampu menampung peningkatan permintaan bermusim. Kerajaan komited memastikan bekalan makanan asas negara sentiasa mencukupi dan stabil,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh akses bekalan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) giat melaksanakan Program Jualan Agro Madani (JAM) di seluruh negara sebagai langkah proaktif memastikan akses bekalan mencukupi sepanjang musim perayaan.
“Setakat 8 Feb, sebanyak 478 program JAM dilaksanakan dengan tawaran harga 10% hingga 30% lebih rendah berbanding pasaran.
“Bagi tempoh Tahun Baharu Cina, Ramadan dan sebelum Syawal, sebanyak 572 lagi program JAM akan dianjurkan di seluruh negara bagi memastikan rakyat mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan,” katanya.
Dalam pada itu, KPKM bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan pemantauan bekalan serta penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan.
“Langkah ini penting bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyorokkan bekalan, sekali gus melindungi pengguna sepanjang musim perayaan dan Ramadan,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali, berkata kementeriannya akan melaksanakan Ops Pantau dari 19 Feb hingga 20 Mac bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal terkawal.
Penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta Akta Perihal Dagangan, juga melibatkan premis yang mengadakan promosi jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.