Ibu mangsa lapor polis apabila dapati anaknya tiada di rumah selepas terima rawatan akibat dipukul, dipercayai mengikut suspek.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada 1.17 pagi semalam.
Pengadu membuat laporan setelah mendapati pintu belakang rumahnya dibuka secara paksa dan anaknya berusia 20 tahun tiada di rumah serta gagal dihubungi.
“Ibu mangsa kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa diperlakukan secara kasar oleh suspek yang juga suaminya berusia 22 tahun di pusat karaoke berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Menurut Dzulkhairi, siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans pada 4.41 pagi selepas cedera dalam kejadian di pusat karaoke tersebut, dan seterusnya menerima rawatan di zon merah.
Berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian terletak di Kota Shahbandar, suspek dipercayai memukul, melempang, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring menggunakan motosikal.
Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya, namun mangsa dipercayai telah keluar bersama anak lelakinya berusia dua tahun mengikut suspek.
“Pengadu gagal menghubungi mangsa sehingga kini dan bimbang terhadap keselamatan mangsa serta anaknya itu,” kata Dzulkhairi.
Beliau berkata, setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Sebelum ini, rakaman CCTV dipercayai berkaitan kejadian tersebut tular di media sosial. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.