`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, April 15, 2026

80 warga asing menyamar polis China didakwa di Tawau

 Mereka didakwa menyamar bagi memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan telefon serta video.

tawau
Semua 80 tertuduh termasuk empat wanita berumur 17 hingga 46 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau. (Gambar Facebook)
TAWAU:
 Seramai 78 warga China serta masing-masing warga Laos dan Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan kegiatan penipuan dalam talian.

Semua 80 tertuduh termasuk empat wanita yang berumur antara 17 hingga 46 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pakatan jenayah dengan menyamar sebagai polis dari China untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, iaitu memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan telefon serta video.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis pada 9.25 pagi, 7 April, mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan 57 tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan, manakala 23 lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan memandangkan mereka berdepan dengan kesalahan imigresen.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Mei ini untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala tujuh tertuduh diwakili peguam Vivian Thien serta dua lagi diwakili peguam Jhesseny P Kang dan selebihnya tidak diwakili peguam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.