`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, April 15, 2026

DNAA Zahid dibuat ikut undang-undang, mahkamah diberitahu

 berlaku dan luar biasa’ bagi mewajarkan semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara.

Ahmad Zahid Hamidi in court bernama pic 15426
Badan Peguam merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara yang memohon DNAA bagi Zahid Hamidi atas pertuduhan rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
 Permohonan peguam negara pada 2023 untuk Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi dibuat mengikut lunas undang-undang, Mahkamah Rayuan diberitahu.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, berkata peguam negara yang juga bertindak pendakwa raya, mempunyai kuasa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah untuk mengemukakan permohonan itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut bertujuan membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan, susulan penerimaan enam representasi dikemukakan bagi pihak Zahid.

“Semua yang dituduh mempunyai hak menghantar representasi, dan menjadi tugas peguam negara untuk menerima serta bertindak sewajarnya,” hujahnya membantah rayuan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran mencabar keputusan peguam negara melalui semakan kehakiman.

Hanir berkata, peguam negara sebagai pendakwa raya, mempunyai budi bicara mutlak dalam pengendalian kes jenayah, malah diberi kuasa menurut undang-undang untuk menarik balik pertuduhan jenayah pada bila-bila masa sebelum penghakiman dijatuhkan.

Justeru, katanya peguam negara berhak memohon DNAA bagi Zahid.

“Jadi, keputusan pendakwa raya (untuk meneruskan permohonan DNAA) bukanlah sesuatu yang tidak rasional dan tidak munasabah.”

Hanir, mewakili peguam negara, turut berhujah bahawa cabaran undang-undang dikemuka Badan Peguam tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman, memandangkan kes itu tidak melibatkan keadaan yang jarang berlaku dan luar biasa.

Dalam satu kes pada 2021 yang melibatkan bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, N Sundra Rajoo, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan budi bicara peguam negara untuk memula, mengendali atau menghentikan prosiding jenayah bukanlah mutlak, dan boleh dicabar dalam keadaan yang jarang berlaku dan luar biasa.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, mewakili Zahid, bersetuju dengannya dan menerima pakai hujah Hanir.

Beliau berkata, Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang mempengerusikan kes telah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap alasan dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau berkata, Sequerah sudah mengambil kira keperluan pihak pendakwaan untuk mendapatkan masa tambahan bagi menyemak representasi Zahid dan menemubual saksi, serta alasan kukuh lain dikemukakan bagi menyokong permohonan DNAA berkenaan.

“Ini adalah dapatan mahkamah jenayah yang belum diketepikan oleh mahkamah lebih atas,” kata peguam itu.

Hisyam berkata, undang-undang mewajibkan peguam negara menjalankan perbicaraan adil dan Zahid mempunyai jangkaan yang sah terhadap perkara tersebut; jika tidak, ia akan mengakibatkan kegagalan keadilan.

Peguam Steven Thiru, yang mewakili Badan Peguam, berhujah bahawa Zahid dilihat seakan diberikan layanan istimewa.

“Permohonan kami untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman sepatutnya dibenarkan kerana DNAA diperoleh itu tidak rasional dan tidak munasabah.”

Thiru berkata, menjadi bidang kuasa mahkamah perbicaraan untuk memutuskan sama ada Zahid patut disabit atau dibebaskan, sambil menambah peguam negara tidak sepatutnya dibenarkan untuk mengambil langkah di luar kehakiman seperti mengklasifikasikan kes itu ‘tiada tindakan lanjut’, kononnya didakwa kekurangan bukti.

Panel tiga hakim, dipengerusikan Hakim Faizah Jamaludin dan turut dianggotai Hakim Lim Hock Leng serta Hakim Nadzrin Wok Nordin, menangguhkan penghakiman bagi rayuan tersebut.

Pada 4 Sept 2023, Sequerah memberikan DNAA kepada Zahid atas 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah, sementara menunggu siasatan lanjut SPRM.

Ini berlaku meskipun keputusan beliau sebelum itu mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid. Ketika DNAA, kes telah pun mencapai peringkat pembelaan, dengan Zahid dan 14 saksi pembelaan lain telah selesai memberi keterangan.

Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan tersebut, yang kemudiannya membawa kepada rayuan semasa.

Dalam kenyataan pada 8 Jan, Jabatan Peguam Negara menyatakan pihak pendakwaan mendapati bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan susulan siasatan SPRM. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.