`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, April 25, 2026

Kes seleweng NGO: 33 akaun RM150 juta dibeku

 Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata 40 saksi dikenal pasti untuk membantu siasatan kes seleweng sumbangan orang awam RM230 juta.

logo sprm macc
Siasatan SPRM mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk komisen menerusi kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
PETALING JAYA:
 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan 33 akaun dengan anggaran RM150 juta berkait siasatan kes penyelewengan dana sebuah NGO di Selangor.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata setakat ini daripada tiga tangkapan dilakukan dua direman, dan 11 saksi dirakam keterangan bagi siasatan kes berkenaan, selain memaklumkan 40 saksi dikenal pasti.

“SPRM menyita aset tak alih dianggarkan bernilai RM27 juta melibatkan empat bidang tanah, tujuh unit rumah, tiga premis pejabat, 18 kereta, dan barangan kemas. Selain itu, 33 akaun bank dibekukan dengan jumlah anggaran RM150 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian menurut Bernama selepas menyempurnakan majlis penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Kuala Pilah, sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani).

Sebelum ini, SPRM mengesahkan kes itu melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan orang awam dan bukan dana zakat.

Azam berkata, siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk komisen daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya akan memanggil 14 hingga 15 saksi bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana NGO milik seorang pendakwah bebas di Negeri Sembilan.

SPRM Negeri Sembilan menahan seorang pendakwah bebas yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Lelaki berumur lingkungan 30-an itu direman selama lima hari hingga esok.

“Bagi kedua-dua kes ini mungkin akan berlaku sedikit kelewatan kerana kita perlukan masa untuk dapatkan dokumen bank bagi di Selangor bagi 2018-2022, kalau 2023 hingga 2025 berdasarkan pengalaman saya ia mudah diperoleh,” katanya.

Azam juga memaklumkan, proses siasatan kedua-dua kes terbabit kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana SPRM perlu mendapatkan maklumat daripada institusi bank.

“Kedua-dua kes ini, selain daripada kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, kita juga melihat pada kesalahan di bawah Seksyen 403 (Kanun Keseksaan), iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang.

“Kita juga melihat kesalahan pecah amanah dan telah membuka fail kesalahan pengubahan wang haram bagi kedua-dua kes,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.