Awal hari ini seorang menteri Kabinet menegur keras tindakan beberapa Adun Kelantan anjur konvoi 'Mat Motor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra'.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran konvoi berkenaan dan telah menasihati penganjur supaya mematuhi peraturan serta tidak mengganggu aliran trafik.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan penganjur, mereka memberi jaminan konvoi berkenaan tidak akan menuju ke kawasan lapangan terbang, sebaliknya hanya melibatkan laluan lain yang ditetapkan.
“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menimbulkan gangguan, terutama di laluan ke LTSIP kerana ketika ini banyak jemaah haji sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang. Sebarang kesesakan boleh menjejaskan pergerakan mereka,” katanya kepada Bernama.
Justeru, Yusoff berkata , polis telah mengaktifkan penugasan pemantauan termasuk sekatan jalan raya di beberapa lokasi strategik dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Sementara itu, tinjauan di LTSIP mendapati tiada kehadiran konvoi motosikal di kawasan berkenaan setakat petang ini, manakala anggota polis dilihat mengawal ketat laluan masuk dan kawasan pelepasan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.
Turut dilaksanakan sekatan jalan raya di beberapa laluan utama sekitar lapangan terbang sebagai langkah pemantauan dan kawalan, dengan kenderaan diperiksa secara berkala bagi memastikan tiada pergerakan konvoi yang melanggar arahan pihak berkuasa.
Berdasarkan tinjauan, konvoi motosikal berkenaan hanya melalui laluan utama menghala ke LTSIP tanpa memasuki kawasan lapangan terbang.
Keadaan trafik di sekitar lapangan terbang juga dilaporkan terkawal tanpa sebarang gangguan, dengan orang ramai terutama bakal jemaah haji dapat bergerak masuk ke terminal seperti biasa.
Hari ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilapor berkata, tindakan beberapa Adun Kelantan menganjurkan konvoi ‘Mat Motor ke LTSIP’ merupakan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, kawasan lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatan perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak terganggu.
Sejak semalam, tular di media sosial mengenai penganjuran program ‘Konvoi & Lepak Mat Motor Bersama YB’ yang didakwa dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan Dewan Pemuda PAS Kelantan, bermula 5 hingga 7 petang hari ini.
Konvoi berkenaan difahamkan bermula di Masjid Muhammadi selepas solat asar sebelum melalui beberapa laluan sekitar bandar termasuk kawasan DUN Kota Lama dan berakhir di Lembah Sireh. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.