`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, April 24, 2026

PAS sepentas DAP-Rafizi di himpunan anti-Azam Baki

 Himpunan dijadual berlaku esok di Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS-Nadzir Helmi
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Nadzir Helmi, berkata keputusan menyertai himpunan ‘Tangkap Azam Baki’ selari prinsip PAS yang berpegang kepada konsep keadilan.
PETALING JAYA:
 Selepas sayap DAP dan MCA, Pemuda PAS turut menyatakan pendirian menyertai himpunan ‘Tangkap Azam Baki’, sekali gus menyaksikan parti itu bakal sepentas dengan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Nadzir Helmi, berkata pihaknya akan menggerakkan ahli untuk hadir bagi menuntut keadilan dan ketelusan isu melibatkan individu penting negara berkenaan.

“Pemuda PAS akan bersama dalam himpunan ini, dan akan menyeru semua Pemuda PAS untuk hadir bersama serta menyatakan keadilan dan ketelusan dalam isu yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pendirian itu selari prinsip PAS yang berpegang kepada konsep keadilan, termasuk prinsip ‘innocent until proven guilty’.

Menurutnya, himpunan berkenaan juga dilihat sebagai ruang menguji komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi dan antirasuah yang sering dilaungkan.

“Maka, himpunan ini memberi gambaran agar laungan reformasi dan antikorupsi oleh kerajaan Madani dapat dibuktikan dengan ketelusan dalam siasatan individu terbabit,” katanya.

Semalam, Pemuda DAP dan Pemuda MCA dilaporkan turut mengumumkan penyertaan dalam himpunan Sabtu ini, menjadikan perhimpunan tersebut merentasi garis parti politik.

Perhimpunan dianjurkan beberapa kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan pelajar berkenaan bakal disertai Rafizi dan Wong Chen dari PKR, serta bekas naib presiden parti itu, Tian Chua, dengan fokus utama menuntut tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Kontrak Azam dijadualkan tamat pada 12 Mei. Tempoh perkhidmatannya sebelum ini dilanjutkan tiga kali sejak beliau memegang jawatan pada Mac 2020, dengan pelanjutan setahun diberikan pada Mei 2023, Mei 2024, dan Mei 2025. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.