`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, April 16, 2026

Projek BALB tingkat kualiti hidup penduduk luar bandar Sabah

 BN Sabah komited terus pantau pelaksanaan projek bernilai RM4.06 bilion itu agar beri manfaat langsung kepada akar umbi, kata Arthur Joseph Kurup.

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup berkata, BN Sabah akan terus beri sokongan padu dan bekerjasama dengan Ketua Menteri Hajiji Noor untuk rancakkan lagi pembangunan infrastruktur asas di negeri itu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
 Pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion dijangka menjadi pemacu kepada perubahan besar dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk pedalaman di seluruh Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Arthur Joseph Kurup berkata, prasarana berskala besar itu merupakan pelaburan masa depan yang penting bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, sekali gus memastikan tiada rakyat terpinggir daripada arus pembangunan perdana.

“Ini juga membuktikan hubungan yang baik antara negeri dan persekutuan adalah kunci kepada pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Menteri sumber asli dan kelestarian alam itu berkata, BN Sabah komited untuk terus memantau pelaksanaan projek itu bagi memastikan setiap peruntukan memberi manfaat langsung kepada akar umbi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah serta pengerusi BN, atas komitmen jitu merealisasikan penyerahan projek tersebut kepada kerajaan Sabah seperti diumumkan hari ini.

Arthur berkata, penyerahan projek itu bukan sekadar sebuah prosedur pentadbiran, malah bukti nyata integriti dan prinsip perjuangan BN yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.

Katanya, penyediaan infrastruktur air bersih yang mampan merupakan teras utama dalam manifesto BN pada PRN Sabah ke-16 yang lepas dan penyerahan projek itu membuktikan bahawa perjuangan parti tidak terhenti sekadar di peti undi.

“BN terus bekerja untuk bantu rakyat. Ini bukti komitmen politik matang, projek telah diluluskan, peruntukan sudah diusahakan dan kita terus serah kepada kerajaan Sabah untuk pelaksanaan membuktikan kerjasama yang baik,” katanya.

Arthur berkata, BN Sabah akan terus memberi sokongan padu dan bekerjasama dengan Ketua Menteri Hajiji Noor bagi merancakkan lagi pembangunan infrastruktur asas di negeri ini.

“BN Sabah akan terus berperanan sebagai jambatan kukuh antara aspirasi rakyat Sabah dengan kepimpinan persekutuan,” tambahnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.