Bagaimana kalau jiran sebelah sudah menternak ular di sangkar, dan menanti masa untuk melepaskannya ke sempadan tanah kita?

Sebenarnya, apa sahaja yang jiran kita lakukan, meskipun di tanah atau wilayah miliknya, serba sedikit akan menempias kita. Jika kita misalnya berusaha menerangkan tanah di kawasan kediaman kita agar tidak bersemak-samun, tetapi jika jiran sebelah memilih untuk menyimpan hutan belantara sekali gus membela ular dan segala binatang berbisa; suka atau tidak haiwan itu akan kerap masuk melepasi sempadan tanah kita untuk membaham ternakan kita.
Inilah dihadapi Republik Islam Iran. Musuhnya, Amerika Syarikat menyerang negara tersebut, sehingga mengorbankan ramai orang awam. Ini termasuklah kesyahidan pemimpin tertingginya sendiri iaitu Ayatollah Ali Khamenei. Serangan Amerika ini datang dari negara jirannya, seibarat ular berbisa yang dibela jiran sebelah rumah.
Dengan alasan untuk membanteras terorisme, negara jiran Iran, seperti Qatar menyimpan ular di Pangkalan Udara Al Udeid; di Kuwait pula ada ular menjerat dengan nama Kem Arifjan/Ali Al Salem; manakala di UAE ular lebih jahat dan celaka bertempat di Pangkalan Udara Al Dhafra; jiran lain di Arab Saudi pula memanjakan ular spesies lain iaitu di Pangkalan Udara Prince Sultan.
Sukar untuk menyalahkan Iran apabila ia bertindak membalas serangan musuhnya Amerika Syarikat. Iran mengebom Qatar, kerana di Al Udeid Air Base itu menjadi ibu pejabatnya US Central Command (CENTCOM). Di Kuwait, Iran menghunjam peluru berpandunya ke Kem Arifjan yang menjadi ibu pejabat tentera Amerika, sedang Pangkalan Udara Ali Al Salem pula menyediakan sokongan tentera. Kem Buehring turut menjadi ular membelit.
Di UAE, musuh ketat Iran dan kawan baik Israel ini menyediakan Al Dhafra Air Base satu lokasi kritikal untuk tentera udara Amerika. Manakala Jebel Ali Port di Dubai menjadi tempat singgahan tentera laut Amerika. Tidak terkecuali yang membuat onar sama adalah Jordan menerusi Pangkalan Udara Muwaffaq Salti.
Iran tidak ada pilihan lain, selain menyerang tanah milik Amerika ini. Memang satu yang aneh, orang Arab dan beragama Islam pula menyimpan musuh Islam sebegini. Musuh Islam ini turut bekerjasama dengan Zionis.
Sekarang gejala dan pengalaman Iran itu akan dirasai pula oleh kita, Malaysia. Indonesia, negara umat Islam paling ramai dan bermazhab Syafie, baru sahaja memadu asmara dengan Amerika Syarikat dari segi ketenteraan. Itu dilakukan dengan jalinan kasih penuh angkuh bersama-sama Pete Hegseth, setiausaha pertahanan Amerika.
Memang celaka lagi sial sebenarnya untuk jiran kita berkhianat menerima ular seperti Hegseth. Makhluk bernama Hegseth yang mencacah tatu ‘kafir’ di lengannya ini pernah mengeluarkan kenyataan yang Islam adalah ideologi ancaman untuk peradaban Barat. Hegseth tidak segan silu menegaskan Islam menurutnya adalah satu ideologi untuk menakluk Barat menerusi strategi demografik mahupun budaya. Malah Hegseth menganggap gerakan melawan Iran ini sebagai satu ‘crusade’ iaitu perang salib.
Apa yang dilakukan oleh Indonesia sebenarnya adalah satu ancaman kepada Malaysia, sebagai jirannya. Ia juga satu bentuk pencabulan dan perogolan terhadap dasar bebas berkecuali Asean yang selama ini dipertahankan oleh blok atau rantau Asia Tenggara.
Ironinya Indonesia pernah menyerang Malaysia, sehingga menjejaskan hubungan diplomatik antara dua negara. Kejadian ini diingati sebagai Konfrontasi Indonesia-Malaysia antara tahun-tahun 1963 sehingga 1966. Ia berlaku kerana Indonesia membantah usaha penggabungan Sabah, Sarawak, Brunei, dan Singapura sebagai sebuah negara persekutuan Malaysia. Soekarno pemimpin Indonesia ketika itu menanggapi Malaysia sebagai negara jajahan Inggeris yang sedang membidani satu bentuk kolonialisme baru di mana Malaysia kini menjadi proksi atau negara boneka British. Tanggapan Indonesia adalah Malaysia itu satu projek jajahan baharu (neokolonialisme) Inggeris dan menjadi ‘wakil pengawal Barat di kawasan Asia Tenggara‘. Soekarno menuduh Malaysia akan membangun pangkalan militer yang boleh mengacau dan mengancam negara jiran.
Segala rundingan dan usaha diplomasi dilakukan untuk mencegah pecahnya perang. Pada 31 Mei 1963, Presiden Soekarno menemui Perdana Menteri Malaysia, Tuanku Abdul Rahman di Tokyo, Jepun. Indonesia tetap membantah terdirinya ‘Malaysia’. Rasa cuak Indonesia itu meski aneh tetap diladeni sementara oleh Tunku. Pun, pada 16 Sept 1963, pemimpin negara ini memilih untuk mengisytiharkan penubuhan Malaysia. Ia membawa kepada pertikaian, bantahan dan melebar meletup menjadi ketegangan, yakni apabila demonstran anti-Indonesia berhimpun di Kedutaan Indonesia Kuala Lumpur pada 17 Sept 1963.
Rentetan itu Soekarno memilih untuk membalas demonstrasi ini. Maka retorik dan kempen ‘Ganyang Malaysia’ pun dijual dan ikut dimasyhurkan oleh Menteri Luar Negeri Indonesia, Soebandrio. Kemuncak perselisihan faham itu menjadi buruk apabila Presiden Soekarno mengarahkan Kogam (Komando Ganyang Malaysia) menerobos ke sempadan Sabah dan Sarawak. Tentera Indonesia turut mendarat di Labis, Johor.
Walaupun semua ini sudah menjadi satu lipatan sejarah, ia tetap merupakan insiden yang mesti diinsafi.
Hari ini, Malaysia menjadi pulau di tengah negara-negara Asia Tenggara yang pro-Barat. Di Selatan, seperti yang kita tahu sikapnya; malah kita diasak di sisi kiri dan kanan. Sedang di sebelah utara, Thailand adalah sebuah negara yang tidak peduli asalkan ada untung masuk kantung. Negara-negara Indo-China meski lebih cenderung kepada China, nampaknya tidak boleh diharapkan sangat. Ia gagal menjadi imbangan. Negara-negara ini malah menjadi pangkalan ‘scammer’ yang berhimpun baik di Myanmar, Vietnam, Laos mahupun Kemboja.
Sabah dan Sarawak pula berjiran dengan Filipina. Tidak begitu lama sebelum ini Senator Robin Padilla ada menggesa Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, dan ia dipetik sebagai satu usaha Filipina untuk mengatasi krisis kenaikan harga petroleum akibat krisis di Asia Barat. Dalam hantaran di Facebook, Padilla berkata, kerajaan Filipina perlu menghantar wakil ke Malaysia bagi mengadakan rundingan berhubung tuntutan wilayah berkenaan, dan meminta kembali Sabah. Filipina seperti yang kita tahu amat mesra dengan Amerika Syarikat. Bukan itu sahaja, untuk membeli minyak dari Rusia pun Filipina terpaksa menyembah meminta izin dari Washington.
Apa yang dialami oleh Iran iaitu berdepan dengan jiran menyimpan semak samun tidak bertebas, pemukiman ular berbisa dan haiwan jalang yang jahat, undangan kepada polong pontianak pengabdi setan itu sedang kita alami, malah harus kita lalui dengan penuh cemas.
Rantau kita tetap strategik. Bahkan sekali fikir jauh lebih strategik dari Asia Barat. Selat yang paling sibuk dan paling boleh diperas untuk dijadikan sekatan tol bukan semesti hanya Selat Hormuz. Kita semua tahu kedudukan Selat Melaka amat penting dalam pelbagai laluan perdagangan dan pertahanan antarabangsa.
Rakyat Malaysia mengaku antiimperalisme. Kita paling ke hadapan menentang Zionis. Sekarang, malah ramai dalam kalangan kita yang sedang belayar dengan flotila ke Gaza. Tetapi, bagaimana kiranya kita di Malaysia sendiri diminta berkorban? Begini, untuk mencerut imperialisme Amerika dan Zionis dengan berkesan, Hormuz terpaksa dicekak dan seisi dunia termasuk Malaysia akan parah tercekik. Minyak kita akan suntuk dan genting. Dari memandu motokar mahal kita mungkin terpaksa berbasikal.
Untuk menentang kuasa imperialisme kita tidak boleh sekadar berdegar-degar di luar. Bagaimana kalau jiran sebelah sudah menternak ular di sangkar, dan menanti masa untuk melepaskannya ke sempadan tanah kita? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.