`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Wednesday, May 13, 2026

4 kes kencing tikus dikesan, kawasan rekreasi Kuala Pilah ditutup

 Keempat-empat individu alami gejala seperti demam dan sakit otot selepas sertai kegiatan air di kawasan itu, menurut jabatan kesihatan.

tikus rat tikuih
Leptospirosis, juga dikenali sebagai penyakit kencing tikus, berpunca daripada bakteria Leptospira dan boleh tersebar melalui air, tanah atau makanan yang tercemar oleh haiwan yang dijangkiti. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengesahkan empat kes leptospirosis yang dikaitkan dengan sebuah kawasan rekreasi di Kuala Pilah, Seremban, susulan mesej tular di media sosial mengenai penularan wabak tersebut.

Menurut jabatan itu, kesemua empat pesakit mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan sakit otot, selepas mengunjungi serta menyertai kegiatan air di kawasan berkenaan.

“Satu kes telah dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut, manakala tiga kes lain menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Sampel klinikal daripada kes-kes tersebut telah diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan tersebut memaklumkan bahawa penilaian risiko di tapak mendapati keadaan persekitaran adalah kondusif untuk penyebaran penyakit leptospirosis.

“Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan rekreasi tersebut telah ditutup oleh agensi berkaitan bermula 10 Mei hingga 17 Mei 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan,” katanya.

Leptospirosis, juga dikenali sebagai penyakit kencing tikus, berpunca daripada bakteria Leptospira dan boleh tersebar melalui air, tanah atau makanan yang tercemar oleh haiwan yang dijangkiti.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa penyakit ini lazim berlaku di negara tropika seperti Malaysia, dengan gejala merangkumi demam, menggigil, sakit otot, sakit kepala, loya, muntah dan cirit-birit.

Orang awam dinasihatkan agar mengelak kawasan rekreasi air semasa musim hujan, menjaga kebersihan diri, mengelakkan penggunaan air sungai yang tidak dirawat, serta menjauhi kegiatan air jika mempunyai luka yang belum sembuh. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.