`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, May 15, 2026

Konsensus Nasional Baharu tumpu susun semula kategori pendapatan

 Saifuddin Abdullah berkata langkah itu antara fokus 'kemakmuran bersama' bagi memastikan pembangunan negara lebih saksama.

malaysia citizen orang awam
Saifuddin Abdullah berkata pengelasan semula kategori perlu dibuat kerana wujud ekonomi tidak formal dan hamba abdi moden.
PETALING JAYA:
Konsensus Nasional Baharu akan menumpukan usaha pengelasan semula pendapatan rakyat mengikut kategori T20, M40 dan B40 yang kebelakangan ini menjadi perdebatan dalam menentukan agihan subsidi terutama petrol.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu antara fokus tonggak kedua konsensus digagaskan wakil rakyat Larut Hamzah Zainudin iaitu ‘kemakmuran bersama’, yang bertujuan menjadikan Malaysia makmur secara saksama.

“Ia akan menyusun semula lapisan pendapatan rakyat dengan menilai semula susunan T20, M40 dan B40 kerana wujudnya ekonomi informal dan hamba abdi moden tidak dikira,” katanya dalam tulisan di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Pemuda Umno menerusi rundingan meja bulat nasional minggu lalu meluluskan resolusi supaya subsidi petrol bagi golongan T20 ditarik balik yang akan dibawa ke pimpinan parti sebelum dibincangkan di Kabinet.


Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula dilaporkan berkata kerajaan akan memuktamadkan cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi, tertakluk kajian.

Namun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta kerajaan berhati-hati dalam melaksanakan cadangan penyasaran subsidi petrol itu kerana kriteria pendapatan kasar semata-mata tidak lagi relevan menggambarkan kemampuan kewangan sebenar sesebuah isi rumah terutama di bandar besar.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Konsensus Nasional Baharu yang diperkenal pada Mei 2025 turut meletakkan jaminan makanan, pendapatan dan tempat tinggal sebagai asas utama pembangunan negara.

“Ketiga-tiganya menjadi prioriti teratas, malahan faktor penentu dasar-dasar lain,” katanya yang turut menjelaskan komitmen melindungi rakyat dan hak mereka untuk berjaya.

“Rakyat bebas menjalankan aktiviti tidak berlawanan dengan agama, budaya dan undang-undang untuk menjadi kaya,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan menyelesaikan kemiskinan pendidikan, khususnya apabila ramai murid sekolah rendah masih belum menguasai literasi dan numerasi.

Saifuddin berkata, kekayaan negara juga mesti diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, kerana negara yang kaya tidak membawa makna sekiranya rakyat masih miskin.

“Negara kaya tidak bermakna sekiranya rakyat miskin. Pastikan kekayaan negara mencerminkan pemilikan rakyat,” katanya.

Katanya, pembangunan negara bawah konsensus itu juga akan diseimbangkan merangkumi semua sektor, bidang, kawasan, kaum dan golongan, selain dilaksanakan secara mampan tanpa merosakkan alam sekitar.

Menurutnya, dasar pembangunan juga perlu berpaksikan keperluan sebenar rakyat, bukan kehendak korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pembuat dasar atau kepentingan politik sehingga membawa kepada pembaziran dana melalui projek ‘gajah putih’. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.