`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, May 19, 2026

Liu kata nama anak bukti hormat Perlembagaan selepas seruan Sultan Selangor

 Ronnie Liu antara diseru Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menghayati Rukun Negara.

Ronnie Liu berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor melihat Rukun Negara bukan sekadar aktiviti simbolik atau formaliti.
PETALING JAYA:
Bekas exco Selangor Ronnie Liu berkata dirinya menghargai keluhuran perlembagaan, malah menamakan anaknya yang membawa maksud menghormati salah satu daripada lima prinsip bawah Rukun Negara itu.

“Sebagai lambang penghormatan terhadap prinsip tersebut, anak patik sendiri diberikan nama ‘Zun Xian’ yang membawa maksud menghormati Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan susulan teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya beliau dan seorang Adun DAP menghayati Rukun Negara.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan Liu hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara.

Ini supaya kedua-duanya menjadi rakyat yang tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

Wong daripada DAP menerima kecaman selepas mencadangkan penternakan babi di Selangor dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.

Sementara itu, Liu pula menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut.

Liu, bekas pemimpin DAP dalam kenyataan itu berkata titah baginda supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor dua kali sebulan bukan sekadar aktiviti simbolik atau formaliti.

Menurutnya, ia sebaliknya membawa makna jauh lebih mendalam iaitu mengingatkan semua ahli politik supaya kembali kepada asas pembinaan negara.

“Hari ini masalah dihadapi Malaysia bukan sekadar persaingan politik, tetapi budaya politik semakin ekstrem, emosional dan saling menyerang sehingga semakin menjauh daripada semangat asal pembinaan negara,” katanya.

Beliau percaya, mesej sebenar ingin disampaikan Sultan Selangor bukan sekadar mengenai kehadiran ke dataran, tetapi mengenai keperluan untuk semua ahli politik memahami semula makna:

Menghormati negara,
Menghormati Perlembagaan,
Menghormati kedaulatan undang-undang,
Menghormati institusi raja-raja, serta menghormati sesama rakyat Malaysia.

Liu berkata, lima prinsip Rukun Negara tidak boleh difahami secara terpilih, sebaliknya perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara.

“Kelima-lima prinsip ini tidak boleh difahami secara terpilih, tetapi perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.