`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Wednesday, May 13, 2026

Pemimpin PAS gesa kerajaan perinci data penggunaan petrol bawah BUDI95

 Ahmad Fadhli Shaari berkata angka purata penggunaan tanpa pecahan terperinci boleh memberi gambaran tidak lengkap mengenai beban sebenar.

RON95
Di bawah BUDI95 rakyat Malaysia yang layak diberi kuota 200 liter sebulan untuk membeli petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS menggesa kerajaan memperincikan data penggunaan RON95 bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95), susulan pendedahan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada kuota 200 liter sebulan.

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata, angka purata penggunaan tanpa pecahan terperinci boleh memberi gambaran tidak lengkap mengenai beban sebenar rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan setiap hari.

Katanya, kerajaan wajar menjelaskan sama ada angka itu benar-benar merujuk kepada pengguna aktif, atau turut mengambil kira kumpulan yang jarang menggunakan petrol seperti pelajar, pemegang lesen muda, warga emas, pengguna motosikal ringan dan mereka yang mempunyai akses kepada pengangkutan awam.

“Apabila kerajaan menyebut 80% rakyat menggunakan kurang 200 liter, 60% kurang 150 liter atau 50% kurang 100 liter, angka itu tidak boleh dibaca secara lurus.

“Soalan yang mesti dijawab ialah, siapa yang berada dalam angka itu?” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dalam sebuah forum semalam yang 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari.

Fadhli berkata, BUDI95 bukan hanya melibatkan pekerja tetapi juga ibu bapa menghantar anak ke sekolah, peniaga kecil, pekerja gig, penduduk luar bandar, keluarga besar serta mereka yang tinggal di kawasan lemah jaringan pengangkutan awam.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membentangkan pecahan data mengikut umur, median penggunaan, lokaliti, jenis kenderaan dan jarak perjalanan harian.

Katanya, penggunaan petrol seorang pekerja di bandar besar yang mempunyai pilihan MRT, LRT dan bas tidak boleh disamakan dengan penduduk kampung, kawasan Felda, Sabah, Sarawak atau pinggir bandar yang tiada pilihan selain memandu sendiri.

“Seorang pelajar yang mengisi minyak sekali-sekala tidak sama dengan seorang bapa yang setiap hari menghantar anak ke sekolah, pergi kerja, membeli barang dapur dan mengurus ibu bapa tua.

“Seorang pengguna motosikal ringan juga tidak sama dengan keluarga besar yang menggunakan MPV untuk urusan harian,” katanya.

Fadhli berkata, rakyat tidak menolak keperluan kerajaan mengurus subsidi dan menangani ketirisan, namun dasar berkaitan kos sara hidup perlu dibuat berdasarkan data yang lengkap dan adil.

Menurutnya, hanya dengan data lebih terperinci rakyat dapat menilai sama ada kuota BUDI95 benar-benar munasabah.

“Atau sekadar kelihatan munasabah kerana data dibentangkan tidak menunjukkan keseluruhan keadaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.