`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Monday, May 11, 2026

Samsuri ‘nafas baharu’ PN teraju negara, pemimpin PAS jawab Ramasamy

 Iskandar Samad berkata, Muhyiddin Yassin ada kualiti kepimpinan tertentu, namun negara kini perlu pemimpin segar dan baharu.

muhyiddin yassin Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN pada Februari lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Pemimpin PAS menolak dakwaan parti itu ketandusan tokoh berkualiti seperti Muhyiddin Yassin untuk menarik sokongan bukan Melayu, sambil menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ‘nafas baharu’ gabungan itu.

Bendahari PAS Iskandar Samad mengakui Muhyiddin mempunyai kualiti tertentu sebagai pemimpin, namun berkata, bekas perdana menteri itu mewakili ‘order lama’ dan sudah diberi peluang menerajui negara.

“Negara memerlukan kepimpinan baharu dan Samsuri adalah nafas baharu yang diperlukan rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Sambutan daripada rakyat apabila Dr Sam menjadi pengerusi PN amat memberangsangkan. Imej beliau selesa dengan setiap lapisan rakyat dan pelbagai kaum.”

Iskandar Samad
Iskandar Samad.

Iskandar mengulas hantaran Presiden Urimai P Ramasamy di Facebook pada 8 Mei lepas yang mendakwa tiada pemimpin PAS mampu menandingi kualiti Muhyiddin dari segi pengalaman politik nasional dan kepimpinan.

Ramasamy turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih bimbang terhadap Muhyiddin berbanding pemimpin nasional PAS kerana Ahli Parlimen Pagoh itu lebih diterima masyarakat bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, sekiranya Muhyiddin masih mempunyai pengaruh, beliau lebih sesuai memainkan peranan sebagai negarawan dan menggerakkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagai NGO, bukan platform politik baharu.

“Cukuplah dengan PN. Tidak perlu banyak gabungan atau platform. Terlalu banyak politik akan membosankan rakyat.

“Kalau betul Muhyiddin masih memiliki pengaruh, mungkin IPR boleh berperanan sebagai NGO untuk menguatkan PN,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Halimah Ali berkata, kekuatan PAS dan PN tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata.

Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali.

Katanya, PAS mengamalkan kepimpinan kolektif, musyawarah dan disokong golongan teknokrat serta profesional dalam pelbagai bidang.

“PAS sangat teliti mengatur langkah dan strategi politik. PAS bukan sekadar pemain biasa di gelanggang politik,” katanya.

“PAS menghormati Muhyiddin sebagai tokoh negarawan dan meraikan kewujudan serta peranan IPR. Namun PAS sudah tentu mempunyai pelan tersendiri untuk mengemudi PN memimpin masyarakat majmuk.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.