Pemegang kad UNHCR itu sebelum ini dakwa seorang lelaki beri sebungkus serbuk yang dikatakan serbuk Ajinomoto.

Panel tiga hakim terdiri daripada Azman Abdullah, Mohd Radzi Abdul Hamid, dan Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Khafai Tullah Nabi Hussein dan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak, dan juga serentak dengan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan ketiga dihadapi lelaki itu, iaitu memiliki 37.20g methamphetamine.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 24 sebatan bagi dua pertuduhan mengedar dadah dan mengekalkan 12 sebatan bagi pertuduhan ketiga.
Namun, Azman yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata jumlah keseluruhan sebatan akan dikenakan tidak boleh melebihi 24 kali.
Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan had maksimum 24 sebatan kepada orang dewasa walaupun pesalah menerima jumlah hukuman gabungan yang melebihi had tersebut.
Panel hakim juga menolak rayuan Khafai Tullah terhadap sabitan bagi dua pertuduhan mengedar 808.6g heroin dan 354.8g monoasetilmorfin. Lelaki itu tidak merayu terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan ketiga.
Selain itu, Azman berkata pembelaan Khafai Tullah bahawa seorang lelaki bernama ‘Mani’ mempunyai akses ke rumah tempat dadah ditemui hanyalah keterangan difikirkan semula.
Beliau berkata, penemuan dadah pada perayu berserta tindakannya cuba melarikan diri dan fakta bahawa dia bersendirian dalam rumah membuktikan jagaan serta kawalan terhadap dadah itu.
Pada 19 Sept 2024, Mahkamah Tinggi mendapati Khafai Tullah, pemegang kad UNHCR, bersalah atas tiga pertuduhan dan menjatuhkan hukuman mati bagi pertuduhan mengedar dadah serta 10 tahun penjara dan 12 sebatan bagi pertuduhan ketiga.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Baru Thye Eng, Bedong, daerah Kuala Muda di Kedah , pada 6.10 petang 14 Feb 2019.
Dalam pembelaannya, Khafai Tullah, 36, mendakwa Mani telah memberinya sebungkus serbuk yang dikatakan serbuk Ajinomoto.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohammad Yunus Mohd @ Ahmad Ali mewakili perayu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli mewakili pihak pendakwaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.