`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Friday, June 5, 2026

Reset bukan untuk selamatkan karier politik, kata Saifuddin

 Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata gerakan diketuai Hamzah Zainudin bertujuan membina semula budaya politik negara berasaskan integriti dan perjuangan.

hamzah zainudin
Hamzah Zainudin melancarkan Reset pada 14 Feb lalu sehari selepas dipecat sebagai ahli dan timbalan presiden Bersatu.
PETALING JAYA:
Saifuddin Abdullah menolak tanggapan gerakan Reset diketuai Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin bertujuan menyelamatkan kerjaya politik mana-mana individu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, gagasan Konsensus Nasional Baharu itu sebaliknya usaha membina semula budaya politik negara berasaskan perjuangan, integriti dan pembinaan negara.

“Apa yang pasti ia bukan untuk ‘political survivalism’ sebaliknya politik perjuangan pembinaan negara yang berasaskan amar makruf nahi mungkar,” tulisnya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Pada 14 Feb lalu, Hamzah melancarkan gerakan Reset sehari selepas dipecat Bersatu, dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada gagasan Konsensus Nasional Baharu bagi menyusun semula landskap politik dan pentadbiran negara.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah.

Difahamkan, bekas ketua pembangkang itu akan mengumumkan parti baharunya menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.

Penubuhan parti baharu itu berlaku ketika PAS dikatakan sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden Hadi Awang pada 22 Mei lalu memberi amaran kepada Bersatu kesabaran PAS ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, antaranya pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke PN.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan, ketiadaan itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Hamzah, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga antara pemimpin Bersatu dipecat berkata gerakan Reset juga bukan sekadar membuka peluang untuk memenangi PRU16, tetapi mengubah keseluruhan budaya politik Malaysia.

“Budaya politik baharu itu perlu menolak amalan yang mengotorkan politik, termasuk politik naungan, beli undi, rasuah, fitnah dan penipuan.

“Ia perlu diganti dengan ‘Politik Baru’ yang menekankan ilmu, hikmah, integriti dan bakti kepada rakyat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.