KSU KKM Hasnol Zam Zam Ahmad berkata kerajaan tidak akan ambil jururawat asing untuk bekerja di kemudahan kesihatan awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Hasnol Zam Zam Ahmad berkata dari segi perbelanjaan, kerajaan mungkin perlu menanggung pelbagai bayaran seperti untuk ejen yang sama seperti bagi majikan membawa masuk pembantu rumah.
“Perlu ada kerjasama antara kerajaan yang belum wujud pun, kemudian ada isu kesamarataan atau pengiktirafan kelayakan…banyak perlu dibuat,” katanya yang menekankan pendekatan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Hasnol berkata demikian pada program audio siar Bicara Sihat Edisi Khas bertajuk mengupas hala tuju kesihatan negara.

Beliau mengulas sama ada KKM akan mempertimbangkan cadangan orang ramai supaya kerajaan membawa masuk jururawat asing.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada Julai 2025 dipetik berkata kerajaan menggariskan enam langkah bagi memenuhi kekosongan 14,000 jururawat di kemudahan awam seluruh negara.
Mengulas lanjut, Hasnol berkata KKM kini menumpukan kepada usaha memperkukuh tenaga kesihatan tempatan bagi menangani kekurangan jururawat di kemudahan kesihatan kerajaan.
Jelasnya, KKM meningkatkan kapasiti Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi melahirkan lebih ramai tenaga jururawat terlatih.
Menurut Hasnol, pembukaan empat lagi kolej menyasarkan meningkatkan pengambilan pelatih daripada kira-kira 3,000 kepada sasaran 5,000 bagi setiap kohort.
Katanya, KKM juga akan memulakan kerjasama dengan kolej kejururawatan swasta tahun depan dan menarik semula jururawat yang telah bersara atau meninggalkan perkhidmatan untuk kembali bertugas secara kontrak atau mengikut keperluan.
“Kadang-kala ada jururawat bersara awal atas sebab-sebab tertentu, sekarang dia rasa sudah stabil dan mahu kembali berkhidmat.
“Jadi kita boleh pertimbang pelantikan secara kontrak perkhidmatan (contract of service). Ini antara pilihan-pilihan yang ada,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.