`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, July 3, 2026

Undi Melayu penentu di Tangkak, calon DAP dan MCA sasar semua kaum

 Penyandang daripada PH dan calon BN akui sokongan semua pengundi tanpa kira kaum penentu kemenangan.

Penyandang daripada PH Ee Chin Li(kiri) dicabar calon BN Haw Chin Teck di Tangkak.
LEDANG:
Perebutan undi Melayu dijangka menjadi faktor penentu di DUN Tangkak apabila penyandang DAP dan pencabarnya daripada MCA masing-masing mengakui sokongan semua kaum diperlukan untuk menang kerusi campuran itu.

Calon Pakatan Harapan (PH), Ee Chin Li, berkata perubahan komposisi pengundi berbanding PRN Johor 2022 menyebabkan dia tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan satu kelompok pengundi sahaja.

“Jika dilihat komposisi pengundi di Tangkak, ia bukan lagi seperti PRN lalu. Ketika itu pengundi Cina melebihi 50%, tetapi kini pengundi Melayu sekitar 46% manakala pengundi Cina 48%.

“Sebagai calon, saya perlu mendapat sokongan pelbagai kaum. Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada satu komuniti kerana setiap undi amat penting,” katanya kepada FMT.

Calon Barisan Nasional (BN), Haw Chin Teck, turut menegaskan pendekatan sama dengan berkata kempennya menyasarkan semua pengundi tanpa mengira kaum.“Kita akan santuni semua pengundi. Kita tidak melihat bangsa,” katanya.

DUN Tangkak dijangka menyaksikan persaingan sengit selepas Ee menang kerusi itu pada PRN Johor 2022 dengan majoriti tipis 372 undi dalam saingan lima penjuru.

Bagaimanapun, Ee berkata keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana pilihan raya ketika itu berlangsung sejurus negara keluar daripada pandemik Covid-19, dengan kadar keluar mengundi sekitar 54%.

“Sejak dipilih, usaha saya adalah meningkatkan sokongan kepada PH. Pada 2022 ramai pengundi berada di luar kawasan dan tidak dapat pulang mengundi,” katanya.

Mengulas sokongan PAS kepada calon BN susulan ketiadaan calon Perikatan Nasional (PN), Ee mengakui ia memberi cabaran kepada PH.

“Kita akui ada tekanan apabila PAS menyokong BN, tetapi cabaran itu perlu diatasi dengan bekerja lebih keras dan memastikan lebih ramai penyokong PH keluar mengundi,” katanya.

Sementara itu, Haw mengalu-alukan sokongan semua pihak jika ia mampu membantu kemenangan BN.

“Saya merayu kepada semua pengundi supaya memberi peluang kepada saya mewakili mereka di Tangkak,” katanya.

Peguam itu turut berkata, prestasi pentadbiran kerajaan Johor bawah Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi wajar dijadikan pertimbangan pengundi pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, pengalaman sebagai peguam akan dimanfaatkan untuk membantu penduduk Tangkak, termasuk menawarkan khidmat guaman percuma kepada mereka yang memerlukan jika dipilih sebagai wakil rakyat pada 11 Julai ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.