Onn Abu Bakar kata inisiatif itu bertujuan memberi perlindungan sosial kepada suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau berkata inisiatif itu sudah dimulakan sejak 2023 menerusi usaha mengenal pasti suri rumah yang benar-benar memerlukan bantuan untuk mencarum.
“Kita dah mula sejak 2023 lagi. Tahun ini kita akan mulakan semula dengan kerjasama komuniti Madani, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau bagi mengenal pasti mereka yang layak.
“Kita sasarkan mereka yang benar-benar memerlukan sebelum berkongsi data dengan Perkeso,” katanya kepada FMT selepas program ziarah di Taman Bestari, Senggarang.
Onn berkata beliau melihat sendiri manfaat Perkeso kepada keluarga pencarum yang meninggal dunia akibat kemalangan.
“Saya sendiri pernah menyampaikan cek pencen kepada waris. Ada balu yang menerima antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
“Sebab itu kita mahu beri motivasi kepada suri rumah supaya turut mempunyai perlindungan sosial, walaupun kita sedar tidak semua mampu mencarum sendiri,” katanya.
Program sama turut dilaksanakan bagi membantu golongan nelayan dan bekerja sendiri mencarum bawah skim Perkeso, dengan caruman ditanggung selama setahun sebagai galakan sebelum mereka meneruskan sendiri.
Menurutnya, fasa pertama tahun ini dijangka dimulakan di Taman Bestari membabitkan kira-kira 10 suri rumah.
Sempena PRN Johor, Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat bertanding di DUN Senggarang. Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru, mencabar Mohd Yusla Ismail (BN) selaku penyandang dan Mohd Rashid Hasnon (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai ini, manakala undi awal pada 7 Julai.
Berdasarkan statistik SPR, PRN Johor kali ini melibatkan 2,727,926 pemilih berdaftar, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.