`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Thursday, July 2, 2026

Undang bukan raja, raja adalah raja

 Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 menetapkan Yang di-Pertuan Besar ialah pemerintah tunggal negeri dan memperuntukkan secara jelas tentang hierarki pemerintahan.

faisal tehrani

Terdapat satu pandangan bahawa Undang atau ketua penghulu di Luak Jelebu, Rembau, Johol dan Sungei Ujong adalah bertaraf raja di Luak masing-masing. Pandangan ini tersebar dan diperkuat oleh segelintir pihak yang sedang menunggang krisis di Negeri Sembilan, dengan harapan Yamtuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dapat diturunkan dari takhta.

Seperkara yang jelas adalah istilah Undang hanya wujud selepas tahun penyatuan Negeri Sembilan iaitu pada 1898. Malah, terombo purbakala Jelebu juga hanya menyebut gelaran moyang Salleh sebagai penghulu, dan bukannya Undang. Hal ini disahkan oleh A Samad Idris, seorang tokoh Adat Perpatih yang juga pemimpin Umno, serta merupakan bekas menteri kebudayaan. Beliau menyebutkan perkara ini dalam bukunya ‘Payung Terkembang’.

Bukan itu sahaja, Samad ke Minangkabau untuk memastikan hal ini dengan Datuk Bandahara Lubuk Sati yang mana beliau menegaskan mereka, iaitu Undang adalah salah seorang penjaga undang-undang (aturan adat) dan bukanlah undang-undang itu sendiri. Catatan Samad dengan Datuk Bandahara itu berbunyi begini:

“Semenjak masa itu pula maka sebutan Undang beransur berubah makna daripada semula sebagai objek (batang tubuh Undang-undang) menjadi subjek (pemegang kuasa Undang-undang). Dapat disimpulkan bahawa sebutan pertama daripada undang-undang itu hanyalah Undang saja dan fahamnya ialah aturan-aturan hukum adat. Kemudian berubah secara beransur dengan sebutan yang sama yang bermakna serta difahamkan sebagai pembuat undang-undang atau pemegang kuasa daripada Undang-undang, iaitu orang-orang yang cerdik pandai yang mampu memikirkan membuat undang-undang dan orang yang mentadbirkan atau menjalankan pemerintahan negeri dan bertindak sebagai pemegang keadilan.”

Sehubungan itu saya berpandangan Undang bukanlah raja, dan raja adalah raja. Untuk mengesahkan lagi pandangan saya ini, saya ikut menyelongkar sebuah buku lama susunan M Rasjid Manggis Dato Radjo Panghoelo berjudul ‘Negeri Sembilan Hubungannya Dengan Minangkabau’ terbitan tahun 1970. Buku ini ditulis dengan dorongan dan prakata oleh A Samad Idris yang pada tahun 1969 adalah timbalan menteri besar Negeri Sembilan, dan Harun Zain iaitu gabenor Sumatera Barat.

Bukan itu sahaja ia juga beroleh perkenan restu daripada Yamtuan Besar Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman. Rasjid penyusun buku ini, yang berasal dari Minangkabau memetik antara lain perbilangan yang lazim kita dengar:

Bulat anak buah menjadi Buapak

Bulat Buapak menjadi Lembaga

Bulat Lembaga menjadi Undang
Bulat Undang menjadi Raja.

Terdapat juga perbilangan Adat Perpatih yang berbunyi:

Alam beraja
Luak berpenghulu
Lembaga bersuku
Buapak beranak buah.

Di sini, jika Undang itu adalah raja, ia akan disebut juga sebagai raja. Namun demikian Undang sekadar disebut sebagai penghulu, manakala raja adalah raja.

Perihal raja adalah raja ini penting untuk difahami jika kita membaca perjanjian di antara Yang di-Pertuan Seri Menanti Tuanku Muhammad Tuanku Antah dengan Undang Yang Empat pada 29 April 1898, masing-masing diwakili oleh Undang Sungei Ujong, Maamur Kassim; Undang Jelebu iaitu Syed Ali Syed Zain al-Jafri; Undang Johol iaitu Wan Saeto Rubah dan Undang Rembau, bernama Serun Sidin. Pendamai menyaksikan perjanjian ini adalah residen British ketika itu, EW Birch.

Perkara pertama dalam perjanjian ini menyebut dengan jelas perihal kedudukan raja:

“Maka sekarang telah kembalilah Undang Yang Empat mentabalkan beta jadi Raja di dalam Negeri Sembilan kerana mengikut peraturan yang telah diperbuat oleh orang tua-tua.”

Dalam hal ini ‘peraturan yang telah diperbuat oleh orang tua-tua’ itu tidak lain bermakna undang-undang adat, iaitu Adat Perpatih.

Norhalim Ibrahim dari Universiti Putra Malaysia yang merupakan pakar sejarah Negeri Sembilan dalam bukunya, ‘Negeri Yang Sembilan: Daerah Kecil Pesaka Adat Warisan Kerajaan Berdaulat’ dengan panjang lebar menjelaskan implikasi perjanjian 1898 di atas.

Menurut Norhalim, ini pertama kali istilah Undang digunakan, yang bermaksud ‘lawgiver’ menggantikan istilah penghulu. Implikasi yang jelas ialah dengan terbentuknya Negeri Sembilan pada tahun tersebut, Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti kini, saya petik ayat beliau; “…dinaikkan taraf secara rasmi menjadi Yang Dipertuan Besar (Yamtuan Besar) Negeri Sembilan”.

Seterusnya, Yamtuan Besar ini diberi elaun yang lebih besar berbanding penghulu luak lain di mana Tuanku Muhammad ketika itu beroleh $6,000; manakala Datuk Kelana Sungei Ujong beroleh $2400, Undang Jelebu mendapat $1920, diikuti Undang Johol $1800, demikian juga Undang Rembau $1800 dan Tunku Besar Tampin, turut menerima $1800. Tangga elaun ini tentu sahaja menunjukkan kekananan masing-masing.

Perjanjian ini yang diberi nama Perkara Lima Perjanjian juga menyatakan Penghulu atau Undang boleh berhari raya di Luak masing-masing atas ‘izin’ dan ‘kurnia’ Yang di-Pertuan Besar. Norhalim menyimpulkan perkara perjanjian ini, saya pinjam ayat beliau; ‘pendeknya kemerdekaan dan kebebasan Penghulu/Undang di Negeri Sembilan pun dikuasai dan dipegang Yang di-Pertuan Besar’.

Implikasi terbesar Perkara Lima Perjanjian tahun 1898 ini adalah, Yamtuan Besar kini adalah seorang raja setaraf dengan raja-raja Melayu di negeri lain, manakala Undang telah kehilangan taraf tersebut. Untuk mengukuhkan poin ini saya petik langsung ayat yang digunakan oleh Norhalim:

“Penghulu Rembau dan para Penghulu lain tidak lagi ‘setaraf’ dengan Sultan-sultan Negeri Melayu lain. Mereka ‘diwakili’ oleh Yang Dipertuan Besar, dan justeru itu Yang Dipertuan Besar pula yang setaraf dengan Sultan-sultan Melayu lain. Secara tidak langsung, ini bermakna juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah lebih tinggi darjatnya (bukan lagi hanya berdarjat ‘keadilan’) daripada para Penghulu/Undang.”

Buku ini adalah satu rujukan yang kuat sekali malahan menteri besar Negeri Sembilan ketika itu, pemimpin Umno bernama Mohd Isa Abdul Samad (sekarang merengkok dalam penjara sabitan rasuah membabitkan sembilan pertuduhan berjumlah RM3.09 juta) turut menulis prakata untuk buku Norhalim. Isa, mewakili kerajaan Negeri Sembilan menyatakan buku ini ‘buku sejarah politik Luak dan daerah Negeri sembilan yang pertama dibukukan’ dan menjadi ‘kefahaman sempurna’ untuk masyarakat Negeri Sembilan, selain ‘memberikan deria, identiti dan tempat’.

Di media sosial, terdapat naratif yang mentafsirkan Perlembagaan Negeri Sembilan secara selektif. Sekiranya kita membaca perlembagaan atau Undang-undang Tubuh di dalam bahasa Inggeris kita akan mendapati Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Besar ialah pemerintah tunggal negeri dan memperuntukkan secara jelas tentang hierarki pemerintahan, di mana Yang di-Pertuan Besar “menjalankan fungsi dan kuasa seorang Raja menurut Perlembagaan ini, dan hendaklah baginda mempunyai keutamaan mengatasi semua orang lain di dalam Negeri”.

‘Semua orang lain’ dalam perkara di atas termasuklah Undang, atau Penghulu.

Jika kita membaca Perkara 7(3) pula, ia mengehadkan kelayakan seseorang untuk memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar itu kepada “seorang lelaki Melayu beragama Islam, sempurna akal, yang merupakan keturunan sah melalui jurai lelaki daripada Raja Radin ibni Raja Lenggang layak dipilih”.

Ini bermakna Undang bukan raja, kerana mereka bukan keturunan yang sah melalui jurai lelaki daripada Raja Radin, walaupun mereka itu lelaki, berakal dan beragama Islam. Justeru, Undang, dari sudut perlembagaan, tidak layak memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar, sedangkan Perkara 7 dengan jelas menetapkan bahawa jawatan itulah satu-satunya institusi yang menjalankan fungsi dan kuasa seorang raja.

Kekeliruan yang digunakan sebagai sampah politik di media sosial adalah penafsiran istilah ‘ruler‘ (raja) bagi maksud Bahagian Kedua Perlembagaan, di mana ia berbunyi begini:

“Tertakluk kepada Fasal (2) Perkara ini, ungkapan ‘Ruler‘ di mana-mana sahaja ia muncul dalam Bahagian Kedua Perlembagaan hendaklah bermaksud Duli Yang Maha Mulia dan Ketua-Ketua Memerintah (Ruling Chiefs) yang tersedia dan sedang memegang jawatan pada masa berkenaan. (2) Bagi maksud Fasal (2) Perkara XL dalam Bahagian Kedua Perlembagaan, ungkapan ‘Ruler‘ hendaklah bermaksud Duli Yang Maha Mulia bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang, atau sekurang-kurangnya dua jika hanya tiga Undang sedang memegang jawatan.”

Apa yang dihujahkan ini sebetulnya hanya terpakai untuk tujuh fungsi tertentu sahaja di mana dalam konteks ini sahaja, Undang itu boleh dianggap sebagai ‘pemerintah bersama’ (co-rulers). Namun, status setara tersebut terhad kepada konteks yang dinyatakan oleh Perkara 40(2) dalam Undang-undang Tubuh.
Perkara 40(2) menyenaraikan tujuh fungsi budi bicara, iaitu:

(a) melantik menteri besar;
(b) tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri;
(c) meminta supaya Majlis Raja-raja bersidang;
(d) menjalankan fungsi sebagai ketua agama Islam dan dalam perkara-perkara berkaitan adat Melayu;
(e) membuat pelantikan ke jawatan-jawatan adat Melayu;
(f) melantik pemangku raja atau majlis pemangku raja; dan
(g) mengawal selia istana dan balairung diraja.

Dalam erti kata lain, hanya, dalam tujuh keadaan tersebut, Yang di-Pertuan Besar tidak boleh bertindak secara bersendirian dari sudut perlembagaan. Akan tetapi ini tidak bermaksud Undang adalah raja bersama-sama, atau pemerintah bersama.

Adalah amat dikesalkan, terdapat banyak ‘kona’ dan ‘pusing’ di luar sana untuk agenda politik tertentu. Lebih dahsyat, sampah naratif politik ini disebar dan ditabur untuk membolehkan agenda yang entah apa.

Kelompok gila kuasa ini bukan sahaja memutar belit sejarah, tetapi menghina kebijaksanaan anak buah suku, dan penghuni Negeri Sembilan. Mereka tergamak melanggar apa sahaja demi nafsu serakah yang meruap-ruap. Pada pilihan raya Negeri Sembilan kelak, tidaklah sesusah mana mengenal pasti puak yang membuat onar dan kekarutan ini. Pengundi di Negeri Sembilan hendaklah menolak mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.