Ketua Pengarah AADK Ruslin Jusoh berkata Tuanku Syed Faizuddin Putra sentiasa beri perhatian serta penekanan terhadap isu-isu dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ruslin Jusoh berkata Tuanku Syed Faizuddin Putra sentiasa memberi perhatian serta penekanan terhadap isu-isu dadah yang membelenggu masyarakat ketika ini.
“Baginda menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk sama-sama memperluaskan penyampaian mesej pencegahan dan juga memerangi penyalahgunaan dadah kepada masyarakat selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Kayuhan Berinformasi sempena Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran AADK Perlis di Felda Mata Air, Padang Besar yang turut disertai Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Berangkat sama ke program dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu ialah anakanda baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Ruslin berkata usaha membanteras penyalahgunaan dadah bukanlah tanggungjawab AADK semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan serta komitmen semua pihak.
“Fokus AADK adalah memastikan setiap individu memainkan peranan masing-masing.
“Institusi keluarga merupakan benteng utama dalam membentuk masyarakat yang bebas daripada bahaya dadah, diikuti komuniti, serta semua agensi kerajaan yang perlu berganding bahu membendung gejala ini,” katanya.
Ruslin turut berharap agar Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dapat diteruskan sebagai platform berterusan untuk menyebarluaskan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.