Setiausaha Agung Loke Siew Fook kata DAP terima teguran Sultan Selangor dan sedia membuat penjelasan.

Loke berkata DAP menerima teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sedia menerima penjelasan. Loke juga adalah menteri pengangkutan.
“Saya akan memohon untuk menghadap Sultan Selangor. Teguran itu kita terima tapi saya akan cuba memohon untuk menghadap Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan. Bukannya soal kita nak membatalkan projek itu, cuma untuk merasionisasikan kos projek tersebut,” katanya kepada pemberita selepas ceramah Pakatan Harapan sempena PRN Johor, di Bakri.
Terdahulu, Lim Guan Eng yang juga penasihat DAP dan bekas menteri kewangan, serta bekas setiausaha politik beliau, Tony Pua, menjelaskan kos, skop, dan garis masa LRT 3 dalam satu artikel.
Loke menarik perhatian kepada penjelasan berkenaan. “Hari ini juga ada kenyataan bersama daripada Lim dan Pua berkenaan fakta-fakta yang perlu diketengahkan.”
Dalam perutusan sempena pembukaan LRT3 Shah Alam, semalam, Sultan Sharafuddin bertitah projek itu pernah tergendala lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, selain berdepan kelewatan 19 bulan lagi akibat pandemik Covid-19.
Titahnya, Lim yang menjadi menteri kewangan ketika itu bersama Pua telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek itu atas alasan kononnya ia projek ‘mega’, juga mengecilkan saiz setiap stesen dan mengurangkan jumlah gerabak keretapi selain membatalkan lima stesen.
Namun baginda bersyukur apabila Anwar Ibrahim sebaik mengambil alih jawatan perdana menteri dan menteri kewangan bersetuju untuk meneruskan projek LRT3 dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.