Bekas menteri kewangan dan bekas setiausaha politik beliau kata LRT Shah Alam akan menjadi pemangkin ekonomi.

Kami dengan penuh hormat menghargai dan menjunjung kasih atas titah pandangan Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penyiapan projek LRT3, yang kini dinamakan Laluan LRT Shah Alam.
Kami ingin dengan penuh hormat dan rendah diri menjelaskan beberapa perkara yang boleh disahkan dengan pihak Prasarana dan MRCB Bhd.
Pertama, projek LRT3 tidak pernah dihentikan, terbengkalai atau digantung semasa pentadbiran Pakatan Harapan antara tahun 2018 hingga 2020. Kami juga ingin menegaskan bahawa pentadbiran PH ketika itu menyokong sepenuhnya projek LRT3 dan menganggapnya sebagai projek kritikal dan penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk Lembah Klang.
Kedua, pada tahun 2015, pentadbiran BN di bawah Perdana Menteri Najib Abdul Razak telah meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek. Akan tetapi, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai kontrak pakej kerja, atau work package contracts (WPC), berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang telah diluluskan.
Setelah mengambil kira semua kos lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengambilan tanah, yuran rakan pelaksana projek (PDP) dan perunding, serta faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan, Prasarana pada Mac 2018 telah mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan jaminan kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan untuk projek tersebut.
Ketiga, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek diteruskan tanpa gangguan, sementara pentadbiran baharu bekerjasama dengan rapat dan secara baik dengan PDP yang telah dilantik, iaitu MRCB-George Kent, bagi merasionalisasikan kos projek.
Keempat, memandangkan projek LRT3 pada ketika itu hanya siap sebanyak 9%, kami mengambil peluang untuk melantik perunding kejuruteraan bebas bagi meneliti dan mencadangkan langkah-langkah rasionalisasi demi memastikan akauntabiliti yang sewajarnya terhadap projek tersebut.
Langkah ini adalah penting kerana terdapat banyak hutang luar kunci kira-kira yang ‘tersembunyi’ yang telah ditanggung semasa pentadbiran Najib. Ini adalah tambahan kepada puluhan bilion ringgit hutang yang ditanggung akibat skandal 1MDB bernilai RM50 bilion.
Perlu ditekankan bahawa mandat semakan tersebut menetapkan bahawa saiz dan skala projek mestilah memenuhi permintaan penumpang berdasarkan kajian trafik, serta perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Kelima, Jemaah Menteri telah meluluskan semakan kos menurun sebanyak 47%, daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM15.02 bilion.
Keenam, kami telah mengutamakan fungsi dan kepraktisan berbanding kemewahan dan kemegahan. Tiada keperluan untuk membina stesen bersaiz MRT bagi sebuah projek LRT. Langkah-langkah yang diambil termasuk:
a) Pengurangan bilangan tren: tempahan ‘rolling stock’ dikurangkan daripada 42 set tren 6-gerabak kepada 22 set tren 3-gerabak, selaras dengan kajian trafik penumpang sehingga tahun 2035 yang dijalankan oleh perunding bebas dan diluluskan oleh SPAD.
b) Penangguhan (bukannya pembatalan) pembinaan 5 stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal yang rendah, sehingga permintaan masa hadapan mewajarkan pembinaannya, dengan peruntukan teknikal disediakan supaya kelima-lima stesen LRT tersebut boleh dibina pada masa hadapan.
c) Kelima-lima stesen tersebut sejak itu telah dimasukkan semula selaras dengan perkembangan semasa. Kerajaan kini telah menganugerahkan kontrak fasa kedua sebanyak RM5.3 bilion untuk kelima-lima stesen ini, penambahan bilangan tren and lain-lain penaiktarafan. Oleh itu, nilai projek telah meningkat daripada RM16.63 bilion kepada RM21.93 bilion. Jumlah ini masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion yang diluluskan semasa pentadbiran Najib.
d) Tarikh sasaran siap projek telah dilanjutkan daripada tahun 2020 kepada 2024. Sasaran asal tahun 2020 sememangnya mustahil dicapai memandangkan hanya 9% projek telah siap menjelang pertengahan 2018. Pelanjutan ini menghapuskan kos pecutan, iaitu bayaran premium kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja pembinaan.
Ketujuh, model PDP telah dimansuhkan. Di bawah model PDP, kontraktor memperoleh bayaran berdasarkan peratusan daripada jumlah kos projek. Semakin tinggi kos projek, semakin tinggi yuran yang diterima. Model ini mewujudkan insentif songsang kepada PDP untuk meningkatkan nilai projek. Model PDP tersebut telah ditukar kepada kontrak harga tetap, sekali gus memastikan tiada lebihan kos kepada kerajaan.
Projek LRT3 kini telah berjaya disiapkan, dengan peningkatan dan penambahbaikan tambahan dilaksanakan, sekali gus membolehkan penjimatan kos projek awal melebihi RM9.72 bilion untuk pembayar cukai Malaysia, dengan harga akhir RM21.93 bilion berbanding harga asal RM31.65 bilion yang diluluskan.
Hasil daripada beban hutang projek yang lebih rendah, kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.
Kami ingin menegaskan semula bahawa penjimatan kepada kerajaan Malaysia ini tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT. Penjimatan ini sebaliknya membolehkan kerajaan semasa dan kerajaan pada masa hadapan memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan.
Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap projek LRT3, yang sebagaimana telah dizahirkan oleh Tuanku, memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan, serta menjadi pemangkin ekonomi kepada pembangunan di Selangor. - FMT
Lim Guan Eng adalah menteri kewangan dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, manakala Tony Pua adalah setiausaha politik beliau.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.