Ahli Parlimen Sembrong berkata pengundi akan menentukan keputusan bukan persepsi atau ramalan sepanjang kempen.

Beliau berkata, hanya pengundi akan menentukan keputusan pilihan raya, justeru usaha mendekati rakyat perlu diberi keutamaan sepanjang tempoh berkempen.
“Kita boleh cakap apa sahaja, tetapi yang menentukan siapa menang ialah pengundi di Sembrong. Kalau kita sibuk fikir pasal majoriti atau melayan pelbagai persepsi, kita tidak ada masa untuk mendekati pengundi.
“Akhirnya, mereka (pengundi) yang akan menentukan sama ada calon kita menang dengan majoriti lebih besar atau sebaliknya,” katanya ketika hadir program ramah mesra bersama warga Orang Asli Kahang.
Sementara itu, Hishammuddin menjangkakan sentimen kaum dan agama akan dimainkan sepanjang kempen, namun percaya kerjasama dalam BN di Parlimen Sembrong mampu menjadi contoh perpaduan.
Katanya, calon BN bagi DUN Kahang daripada MIC, manakala di Paloh adalah MCA, sementara beliau sendiri Ahli Parlimen Sembrong daripada Umno.
“Kalau tiga kaum dan agama ini boleh bekerjasama rapat dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama atau warna kulit, saya rasa kita boleh menjadi contoh kepada mereka yang gemar memainkan sentimen perkauman dan keagamaan demi kepentingan politik,” katanya.
Kerusi DUN Kahang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, V Rugendran, Mohd Sabri Abd Kadir (Pakatan Haran) dan Mazlan Bujang (Perikatan Nasional).
Pada pilihan raya lalu, kerusi itu dimenangi calon BN daripada MIC, R Vidyananthan dengan majoriti 6,698 undi.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini dengan undi awal 7 Julai. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.