Bekas pemimpin Umno itu sokong Mohamad Yazid Bakri kerana calon berkenaan anak tempatan dan tinggal di kawasan itu.

Puad dalam hantaran di Facebook berkata beliau kini tidak berparti dan memilih calon berdasarkan keperibadian individu berkenaan, bukan semata-mata parti yang diwakili.
Bekas Adun Rengit itu turut menyenaraikan beberapa alasan tindakan menyokong Yazid antaranya calon itu anak jati Rengit, bukan tinggal di bandar, menetap di kawasan berkenaan dan rumahnya terletak di Rengit.
“Dia juga pengerusi Surau Al-Wusto Rengit,” katanya.

Puad keluar Umno pada 25 Jun lalu sambil menegaskan dirinya tidak lagi mampu berdiam diri mengenai apa yang disifatkannya sebagai kekurangan autonomi dalam membuat keputusan di Umno Johor.
Barisan Nasional (BN) mencalonkan Mohd Zaidi Japar untuk mempertahankan kerusi itu dan ditentang Yazid serta Syed Mohamad Syed Alwi dari Perikatan Nasional (PN).
Puad baru-baru ini menggesa pengundi di DUN Rengit menangguhkan sokongan kepada BN sehingga kerajaan Johor menyelesaikan isu bekalan air dan benteng pecah di Kampung Berong Laut.
Menurutnya, kedua-dua masalah itu masih berlarutan walaupun sudah beberapa kali dibangkitkan kepada kerajaan negeri.
Beliau turut mendakwa usaha menyegerakan penyelesaiannya juga tidak diberi keutamaan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang juga pengerusi BN Johor. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.