230kg minyak masak peket pelbagai jenama bernilai RM575 ditemukan disembunyikan dalam plastik hitam, menurut KPDN Melaka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Mohd Hazimin Jamaludin berkata, dalam serbuan pada 1.30 petang itu, sebanyak 230kg minyak masak peket pelbagai jenama bernilai RM575 ditemukan di restoran yang telah beroperasi sejak 2014 itu.
“Serbuan oleh lima anggota penguat kuasa KPDN Melaka hasil aduan dan risikan selama tiga minggu mendapati premis perniagaan milik warga Yaman itu disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi bagi tujuan komersial.
“Minyak masak itu ditemukan selepas premis diperiksa dalam tempoh kira-kira 30 minit dan laluan tangga ke tingkat tiga premis telah diubah suai bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Hazimin berkata, siasatan awal mendapati minyak masak peket itu dihantar bersama-sama barangan kering lain menggunakan perkhidmatan kurier dan pesanan didakwa dilakukan oleh ibu pejabat restoran yang beralamat di Kuala Lumpur.
Siasatan turut mendapati bekalan minyak masak itu diperoleh daripada syarikat pembungkusan yang beralamat di Selangor.
Mohd Hazimin berkata, penyelia restoran, lelaki warga Yaman berusia 50an, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.
Katanya, pesalah boleh didenda sehingga tidak melebihi RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala denda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama bagi syarikat. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.