Anwar, Dr M ketuai Pakatan, logo ‘gunung’ jadi pilihan
Gabungan 4 parti di bawah Pakatan Harapan malam tadi mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin tertinggi, di samping memilih logo baharunya yang akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.
Anwar diumumkan “ketua umum” dan Dr Mahathir sebagai “pengerusi”, jawatan sama yang dipegang dalam parti masing-masing.
Dalam kenyataan bersama dibacakan Dr Mahathir, gabungan itu turut mengumumkan akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan bagi Anwar, yang kini dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara pada 2015.
“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” kata kenyataan ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM, selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.
Antara hadir pada mesyuarat itu ialah Dr Mahathir sebagai pengerusi PPBM, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Ketika ditanya sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon perdana menteri, Dr Mahathir menjawab:
“Dia akan dibebaskan hasil usaha perdana menteri yang terdahulu daripadanya dan kita akan mohon supaya dia dapat pengampunan diraja dan selepas itu kita akan melalui proses undang-undang,” katanya, sambil menambah ia sesuatu yang tidak dapat dilakukan serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai tugas yang banyak”.
Sebelum ini, timbul beberapa desakan supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri sebelum melantik Anwar yang kini masih menjalankan hukuman penjara.
Dr Mahathir enggan menjawab sama ada rancangan itu dipersetujui PH.
“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi,” katanya.
“Nombor 7 akan kita isytihar,” kata Dr Mahathir merujuk perdana menteri ke-7 selepas Datuk Seri Najib Razak.
“Tapi hari ini kita isytihar nombor 8 sahaja.”
Logo baharu ‘puncak gunung’
Logo rasmi yang dipilih mewakili gabungan itu berlatarbelakang warna merah, dengan perkataan “Harapan” dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya.
“Kita besarkan A menjadi satu gunung puncak yang tinggi,” kata Dr Mahathir selepas mesyuarat itu.
Logo baharu itu sekiranya didaftarkan akan buat pertama kali digunakan pembangkang pada pilihan raya umum. Sebelum ini, parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat yang kini dibubarkan menyertai pilihan raya dengan logo masing-masing.
Senarai kepimpinan diumumkan hari ini hasil daripada rundingan yang memakan masa beberapa bula melibatkan pimpinan tertinggi 4 parti itu.
Selain Dr Mahathir dan Anwar, Wan Azizah dilantik menjadi presiden, dibantu timbalannya Muhyiddin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).
Empat naib presiden turut dilantik mewakili setiap parti, iaitu Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub.
Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M. Kula Segaran dilantik bendahari.
Dalam kenyataannya, PH berjanji menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April 2015, dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.
Ia antara 7 janji lain yang turut menyentuh harga petrol, kos kehidupan, reformasi institusi, rasuah, 1MDB dan Felda.
“Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan,” kata kenyataan itu. -FMT
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
13 JULAI 2017
Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan
Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;
Maka, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran Dato Sri Najib Tun Razak. Melalui kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan.
Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mendokong matlamat-matlamat berikut:
1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Dato Seri Najib Tun Razak;
2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;
3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;
4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;
5) Reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan
6) Menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu:
Ketua Umum:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Pengerusi:
Tun Dr Mahathir Mohamad
Presiden:
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan-Timbalan Presiden:
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
YAB Lim Guan Eng
Tuan Haji Mohamad Sabu
Naib- Naib Presiden:
YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
YB Chong Chieng Jen
Tuan Haji Salahuddin Ayub
Ketua Setiausaha:
Datuk Saifuddin Abdullah
Bendahari:
YB M. Kula Segaran
Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:
• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA.
Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.
Ditandatangani oleh:
YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi PPBM
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM
YB Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi DAP
YBhg Tn Hj Mohamad Sabu
Presiden AMANAH
ULASAN GB
Syukur kepada Allah swt dan tahniah kepada Pakatan Harapan di atas kejayaan pembentukan struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu.
Semuga dengan kejayaan ini akan merintis kejayaan dan kemenangan yang lebih banyak dan yang lebih besar khususnya kejayaan dan kemenangan di dalam pilihanraya umum yang akan datang ini.
Tugas pertama kini ialah TUMPAS.... Tumbangkan UMNO/BN dan PAS!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.