KUBU terakhir Umno adalah di Johor, dan kota pertahanan terakhir Umno Johor adalah di Parlimen Johor Bahru.
Kerana itu, Perdana Menteri Najib Razak serta Menteri Besar Khaled Nordin baru-baru ini secara terbuka memujuk Shahrir Samad agar menukar pendirian yang dibuatnya selepas PRU13 untuk tidak lagi mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru.
Imej kerajaan kleptokrasi Najib sangat buruk hingga mereka tahu bahawa, tanpa imej Shahrir, Parlimen bandar seperti Johor Bahru, kemungkinan besar akan hilang.
Kota yang telah hilang
Imej dan integriti kerajaan Khaled juga sudah tidak dapat dipertahankan lagi apabila terbongkarnya skandal rasuah hartanah terbesar dalam sejarah negeri Johor. Tanpa Shahrir, kota terakhir Umno ini akan hilang tak berganti.
Parlimen Alor Setar, Ipoh Barat dan Timur, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Kuantan, Parlimen Shah Alam, Parlimen Seremban, Parlimen Kota Melaka, Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Kota Kinabalu di’PH’kan. Hanya Parlimen Johor Bahru belum benar-benar diuji.
Jelas sekali Parlimen Johor Bahru akan menjadi kota pertahanan terakhir Umno di negeri kelahirannya. Umno kini dalam keadaan sangat terdesak untuk menjaga “air muka” mereka setelah dua kali pilihan raya, gagal mengembalikan Selangor ke dakapan Umno.
Tenatnya Umno Johor semakin ketara apabila buat kali pertama dalam sejarah politik Johor moden, kerajaan Khaled yang menjadi kubu kukuh Umno, hilang majoriti dua pertiga di dewan negeri.
Faktor Shahrir
Kemenangan Shahrir dalam beberapa PRU yang lalu, jelas menunjukkan kemenangan yang meyakinkan. Namun, nilai kemenangan itu semakin menipis, tahun demi tahun.
Pada PRU11, beliau menang dengan majoriti besar iaitu 46,792 undi, tetapi pada PRU 12 kemenangan beliau menipis menjadi 25,349, hilang hampir separuh undi.
Pada PRU13 yang lalu, lebih separuh lagi undi ke atas beliau hilang dengan hanya mendapat majoriti 10,134. Jika disemak dengan perubahan jumlah pengundi baru, kesan GST dalam kalangan penduduk bandar. Anjakan konservatif antara 10-15% undi itu boleh menghilangkan Umno dari Parlimen Johor Bahru.
Di peringkat kerusi Parlimen Johor Bahru, harapan beliau agar MCA dapat membantu menambah undi, boleh dikatakan agak tipis. DUN Stulang kini dikuasai oleh DAP, dan boleh dikatakan DAP agak konsisten dalam mempertahankan pengaruhnya dalam kalangan pengundi. Maka, cabarannya bukan kepalang.
Di peringkat nasional, Shahrir adalah tokoh awal yang mempertahankan skandal 1MDB. Beliau mempertahankan salah laku bosnya Najib dalam skandal yang cukup menjolok mata ini.
Hari ini beliau dilantik oleh Najib menjadi pengerusi Felda. Satu kedudukan idaman ahli politik.
Namun, Felda pula pada ketika ini sedang menghadapi krisis terbesar sepanjang penubuhannya. Perpindahan Isa Samad yang kini sedang disiasat pihak berkuasa, menjelaskan lagi betapa teruknya masalah di Felda.
Hingga Shahrir mengambil alih, belum nampak tanda-tanda Felda akan pulih dari krisis kewangan dan pentadbirannya. Mungkinkah Shahrir akan meneruskan legasi “pemberian wang” agar hati para peneroka sejuk? Sama-sama kita lihat.
Shahrir, kad terakhir Najib di Johor
Percaturan Najib dan Khaled agar Shahrir menukar pendiriannya untuk kembali bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru bagi pihak Umno, boleh dikatakan perjudian yang berisiko tinggi.
Shahrir sememangnya berpengaruh di kalangan pengundi tegarnya, tetapi jika kita lihat apa yang berlaku ke atas mantan menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman di Gelang Patah pada PRU13 yang lalu, ia boleh memberi sedikit keyakinan kepada Pakatan Harapan untuk membuat kejutan kali kedua.
Jika Shahrir menerima pujukan presiden Umno dan pengerusi Perhubungan Umno Johor ini, peluang bagi PH untuk mencipta sejarah, pastinya akan lebih cerah.
Kerana apa? Selain faktor politik semasa, percaturan ini jelas membuktikan Umno di peringkat yang cemas dan terdesak hingga tiada lagi calon lain yang berwibawa, mampu mempertahankan kota terakhirnya.
– ttps://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.