Ketika Najib berucap dan Dr M menarik perhatian jemaah, pimpinan tertinggi PAS yang kelihatan di pentas hanya Ketua Pemuda Khalil Abdul Hadi.
PUTRAJAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini tidak hadir di himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra di sini hari ini.
Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berucap dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik perhatian jemaah, pimpinan tertinggi PAS yang kelihatan di pentas hanya Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi.
Khalil ketika ditemui pemberita tidak menjelaskan mengapa Hadi tidak dapat hadir ke tunjuk perasaan hari ini. Kehadiran pemimpin tertinggi parti Islamis itu dinanti-nantikan kerana ia bakal menjadi gandingan ke-3 beliau dan Najib di satu pentas.
“Insyallah, beliau akan hadir dalam program-program akan datang. Saya percaya akan ada lagi program-program akan datang,” katanya.
Sebelum itu, Dr Mahathir menyertai ribuan umat Islam bersolat Jumaat, menjelang tunjuk perasaan solidariti untuk Palestin yang dihadiri pimpinan parti politik, NGO dan badan-badan agama. Dalam 22 tahun bekas perdana menteri itu mentadbir negara, beliau terkenal kerana kelantangan mengkritik Barat dan Israel.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dan aktivis flotila kemanusiaan ke Gaza, Hasanuddin Mohd Yunus, dari Amanah pula mewakili parti masing-masing di forum isu Baitulmaqdis hari ini.
Tunjuk perasaan diadakan sebagai respon kepada langkah Amerika Syarikat memperakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Ribuan rakyat sudah berkumpul di masjid berpakaian warna putih, mengibar bendera dan memakai skaf dengan warna kebangsaan Palestin.
Khalil memberitahu pemberita bahawa presidennya akan memberikan komitmen menjayakan acara untuk Palestin di masa akan datang.
“Berdasarkan kepada pendirian beliau sejak daripada dahulu tentang isu Palestin, ini bukan kali pertama untuk memastikan rakyat Malaysia, kerajaan bersama-sama dalam isu Palestin,” katanya.
Najib dan Hadi sebelum ini digandingkan dalam himpunan nasib etnik Rohingya di Myanmar.
Penganjur berkata mereka menjangka kehadiran lebih kurang 10,000 orang di perhimpunan hari ini. Beberapa kumpulan warga asing termasuk rakyat Palestin juga turut serta di kawasan masjid itu.
Seorang warga Palestin yang hanya dikenali sebagai Baharudin berkata, beliau terharu dengan sokongan ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.
“Ianya satu perkara baik mereka berhimpun di sini hari ini untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin. Kita perlu berganding bahu dalam perjuangan ini,” katanya kepada FMT. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.