Perdana menteri berkata wajib membebaskan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa dari cengkaman Zionis.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, merupakan “kenalan baik”, namun tidak akan menggadaikan kesucian Islam meskipun pernah mendapat sambutan baik di Rumah Putih.
Di pentas tunjuk perasaan Himpunan Solidariti Baitulmaqdis di Masjid Putra hari ini, Najib di hadapan kira-kira 2,000 hadirin berkata orang Islam atas dasar prinsip wajib membebaskan Baitumaqdis dan Masjid Al-Aqsa dari cengkaman Zionis.
“Jangan lupa prinsip pertama Maqasid Syariah…memelihara agama, nyawa dan harta. Kalau Baitulmaqdis itu kota suci umat Islam yang ketiga, maka wajiblah kita memperjuangkan Al-Quds Al-Syarif bebas dari cengkaman Zionis,” katanya.
Tunjuk perasaan hari ini diadakan sebagai respon kepada tindakan Amerika Syarikat memperakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Beliau disertai Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi di pentas himpunan hari ini.
“Ini tak ada pilihan, ini wajib kita tentang mereka. Wajib kita bersatu. 1.6 billion umat Islam. Yahudi berapa? 13 juta. 1.6 bilion boleh kalah pada 13 juta? Tak masuk akal,” kata Najib.
“Kalau kita tak bersatu, kita lemah. Kalau kita bercakaran, Allah kata kita akan jadi lemah,” tambahnya.
Sebelum itu, Dr Mahathir menyertai ribuan umat Islam bersolat Jumaat, menjelang tunjuk perasaan solidariti untuk Palestin yang dihadiri pimpinan parti politik, NGO dan badan-badan agama. Dalam 22 tahun bekas perdana menteri itu mentadbir negara, beliau terkenal kerana kelantangan mengkritik Barat dan Israel.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dan aktivis flotila kemanusiaan ke Gaza, Hasanuddin Mohd Yunus, dari Amanah pula mewakili parti masing-masing di forum isu Baitulmaqdis hari ini. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.