`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 5, 2017

Isu lanun Bugis: Sultan Selangor bercakap berdasarkan fakta

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menafikan baginda dipengaruhi mereka yang 'anti-Mahathir'.
Sultan-Sharafuddin-Idris-Shah-mahathir-mohamad-bugis-pirate-1PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, baginda hanya menegur Tun Dr Mahathir Mohamad berdasarkan kenyataannya mengenai lanun Bugis, 3 minggu selepas kenyataan itu dikeluarkan kerana mahu mendapatkan semua fakta terlebih dahulu.
Dalam satu wawancara dengan The Star, Sultan Sharafuddin berkata, baginda mendengar kenyataan Dr Mahathir itu semasa dalam perjalanan mengerjakan umrah.
“Saya tidak mahu bertindak membuta tuli. Saya menunggu sehingga kembali ke tanah air dan bercakap dengan beberapa individu yang berada di sana dan tahu apa sebenarnya berlaku. Saya hanya menegur selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, baginda berkata, bekas perdana menteri yang “tidak pernah meminta maaf” itu, belum berbuat demikian kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Oktober lalu, pengerusi Pakatan Harapan itu mencetuskan kontroversi apabila merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun Bugis” di perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Padang Timur, Petaling Jaya.
Kenyataannya mendapat kritikan hebat daripada Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia dan Persatuan Belia Bugis Makassar Indonesia.
Pada 2 November lalu, Sultan Sharafuddin berkata, baginda memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan pengerusi PPBM itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong bangsa Bugis.
“Berdasarkan klip video ucapan berkenaan yang tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.
“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan huru-hara.
“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” katanya.
Baginda berkata, selaku bekas perdana menteri yang menerajui negara selama 22 tahun, Dr Mahathir sepatutnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.
Dr Mahathir turut dikritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memberitahu New Straits Times pada 24 November lalu, baginda terkilan dengan kenyataan itu.
“Saya keturunan Bugis. Sultan Selangor keturunan Bugis. Ramai orang Johor berketurunan Bugis. Keturunan saya dapat dikesan di Riau-Lingga, di mana terdapat ramai orang Bugis. Apa perasaan orang Bugis?” soalnya.
Dr Mahathir bagaimanapun bertegas beliau bukannya menghina semua orang Bugis, sebaliknya hanya merujuk Najib sebagai lanun Bugis.
Sultan Sharafuddin juga menafikan baginda dipengaruhi golongan “anti-Mahathir”, sambil menambah pengerusi Pakatan Harapan itu mempunyai “rasa rendah diri yang kompleks dan kebencian mendalam” dalam dirinya.
“Beliau hanya marah dan kemarahannya akan membakar seluruh negara,” kata sultan itu.
Selaku kerabat diraja Selangor, baginda atau keluarganya tidak mengundi kerana mereka berada “di atas politik”.
“Datuk dan bapa saya mengamalkannya. Begitu juga saya dan anak-anak saya,” katanya kepada akhbar itu.
“Salah untuk fikir saya dipengaruhi satu pihak atau yang lain ketika saya membuat keputusan. Satu-satunya kebimbangan saya adalah kesejahteraan rakyat dan itu adalah pengaruh utama bagi saya.” -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.