Ali Hamsa berkata, notis merah yang diterima sesetengah kakitangan kerajaan itu sebenarnya garis panduan lama, bukannya pekeliling.
PETALING JAYA: Kira-kira 500 penjawat awam boleh menarik nafas lega, selepas ketua setiausaha negara memberi jaminan mereka tidak perlu membayar penalti puluhan ribuan ringgit kerana berpindah dari kuarters atau bekerja di luar radius 25km dari kuarters di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Tan Sri Ali Hamsa berkata, notis merah yang diterima sesetengah kakitangan kerajaan itu sebenarnya garis panduan lama, bukannya pekeliling.
“Ia panduan lama yang saya ketahui hari ini. Mereka tidak perlu membayar (penalti),” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa campur tangan perdana menteri bagi membantu kira-kira 500 ahlinya yang dikenakan penalti ribuan ringgit kerana berpindah dari kuarters atau masih tinggal di kuarters selepas ditukarkan tempat kerja di luar radius 25km dari Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Presidennya, Datuk Azih Muda dilaporkan berkata, ada di kalangan mereka yang dikenakan penalti sehingga RM140,000 sejak 2012 oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Lebih teruk apabila ada di kalangan penjawat awam itu yang langsung tidak dimaklumkan mengenai penalti berkenaan.
Mengulas lanjut, Ali berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan pegawai kanan dan Cuepacs hari ini.
Katanya, penalti tidak dikenakan kerana kakitangan kerajaan yang menduduki kuarters akan dikenakan potongan mengikut kelayakan masing-masing.
“Pagi ini saya berjumpa dengan Cuepacs dan buat keputusan kita memang tak ada penalti kerana gaji mereka memang dipotong mengikut kadar biasa,” katanya yang menemui 6 penjawat awam dikenakan penalti itu pagi tadi. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.