`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 26, 2019

Keluar Atau Masuk Gua Telinga

Image result for Raja raja Melayu Malaysia 2019

Bahawasanya orang Melayu bersatu hati bangkit menentang Malayan Union (Kesatuan Malaya) pada tahun 1946 yang sekali gus menyelamatkan institusi raja daripada menjadi hamba British hanya separuh  cerita sahaja. Raja Melayu telah  pun setuju dan menandatangani perjanjian Malayan Union. Seorang daripada mereka telah pun menaikki kapal dan terus pulang ke England, tanah kesayangannya. Hanya jenazah beliau akan kembali untuk 'disemadikan' di negeri asalnya. Seorang puteri beliau pun akan turut 'kekal' di England dan seperti ayahnya, jenazahnya akan kembali untuk dikebumikan di negeri asalnya.

Orang Melayu telah menentang Malayan Union untuk menyelamatkan diri mereka dulu, Raja Melayu adalah 'pelakon tambahan'. Raja Melayu adalah perlu kerana orang Melayu tidak mempunyai  hero lain yang mereka boleh bersatu dibelakangnya atau yang boleh dijadikan simbol identiti Melayu. Sehingga hari ini bukan semua  orang Melayu kenal pun nama kesemua sembilan orang Raja Melayu ataupun nama penuh DYMM YDP Agong. Ramai juga orang Melayu tidak boleh mengenali wajah muka kesemua Raja Melayu yang ada. 

Pandangan yang mengatakan orang Melayu 'berpayung' dibawah naungan Raja Melayu lebih untuk mengekalkan identiti Melayu sahaja - pasca Malayan Union sampai sekarang. Dalam abad 21 pula, secara praktiknya  institusi Raja Melayu mempunyai kesan yang minimal dalam kehidupan harian orang Melayu. Baru ini anak muda Melayu dikenakan hukuman penjara kerana menyoal keperluan keseluruhan institusi raja. Hujah beliau yang lantang itu bersandarkan kepada fahaman agamanya.

Hari ini orang Melayu masih tidak mempunyai hero. 

Selain daripada identiti Raja Melayu dan sistem keRaja-an, orang Melayu telah bernaung di bawah kuasa politik dan kerajaan yang dikuasai Melayu UMNO selama 63 tahun (dan Melayu PAS di Kelantan selama 30 tahun). 

Dalam zaman yang 'perlu sangat kepada ekonomi' kuasa politik Melayu UMNO telah berjaya melahirkan identiti ekonomi yang baru untuk orang Melayu bernaung dibawahnya. Ini termasuk syarikat korporat gergasi seperti Felda, kumpulan PNB, Maybank, Petronas, Tabung Haji, MAS, Proton dan lain-lain yang memberi orang Melayu keyakinan baru untuk menentukan masa depan sendiri. 

Tanpa syarikat atau keilmuan korporat, PAS pula telah menjual agama dan ke-Araban  sebagai sumber identiti baru untuk Melayu.  Hanya dengan bermodal air liur PAS dapat mempengaruhi orang Melayu di kampong bahawa mereka tidak perlu kepada apa pun kecuali agama dan hudud cap tok guru bagi semua keperluan harian mereka.

Dengan banyak 'identiti' baru ini, maka berkuranglah keperluan orang Melayu kepada institusi raja sebagai payung identiti Melayu. Sehingga anak muda Melayu dihukum penjara kerana mengkritik keperluan institusi Raja Melayu.

Tetapi walaupun sudah ada begitu banyak 'identiti' baru ini,  orang Melayu masih tidak mempunyai 'super hero' dalam diri-diri mereka sendiri.  Identiti individu yang bebas, moden, kuat dan perkasa itu belum wujud lagi. Towering Malay atau Melayu perkasa itu masih tidak tercapai. 

Sebenarnya bukan tidak boleh tetapi Melayu tidak dibenarkan menjadi manusia yang boleh berdiri di atas kaki sendiri. Politik Melayu UMNO dan  PAS tidak mahu mereka menjadi manusia yang boleh bersaing, bebas untuk berfikir, bebas untuk bersuara dan yang boleh mencari kehidupan dengan sendiri tanpa perlu berbaris di pejabat kerajaan atau pejabat Wakil Rakyat dan tanpa perlu kepada agama, surau dan ustaz.  

Semua keperluan basic yang boleh menjadikan Melayu gagah perkasa dikawal oleh pemegang kuasa politik dan pemegang kuasa agama. Peperiksaan sekolah dimudahkan, universiti dikuotakan, projek dibumiputerakan, Felda disabsidikan, padi biBernaskan, minyak diPetronaskan, rumah didiskaunkan, agama di jabatankan, kepercayaan dienakmenkan, hidup bermasyarakat dikhalwatkan, muzik dicapkan (haram), penulis digelarkan sesat dan banyak lagi. 

Kawalan ketat ini diberi nama samaran Dasar Ekonomi Baru oleh pemimpin politik Melayu UMNO, Walaupun DEB tidak berdasarkan sebarang falsafah ekonomi atau buku teks ekonomi. Kemudian pasca kekalahan majoriti 2/3 di Parlimen,  pimpinan politik Melayu UMNO yang sudah nampak kehilangan takhta melaungkan  "ketuanan Melayu'.  Sebenarnya semua ini hanyalah versi awal  "Malu Apa BossKu". Versi 1.0. 

Hari ini pula tunggak-tunggak asas identiti Melayu ini sudah ghaib. UMNO sudah tiada.  Kuasa politik Melayu bukan lagi dominant. Felda sudah jadi debu, Tabung Haji bocor tidak boleh dipateri, Proton sudah dilelong, MAS nampak cantik pada ekornya sahaja, minyak (minyak mentah, gas asli, minyak kelapa sawit) menghadapi tekanan. Gelagat raja menjadi bahan gabrar tahap warong. Pelakon agama pula kolot dan makin tidak bertamadun.  Sebut saja 'Muslim' dan lampu merah akan berputar dan berbunyi di airport di seluruh dunia.  Dan sekarang agama telah mengimpot penyakit puak dan suku dalam pemikiran Melayu. Sunnah wal Jamaah, Syiah, Salafi, Wahabi, Tareqat semuanya membelah bahagi identiti agama Melayu seperti pizza yang dipotong jadi delapan.


Identiti suku dan puak agama dan identiti Arab dalam agama  pun tidak boleh membantu Melayu membentuk identiti keMelayuannya.  

Semua ini adalah jerat perangkap. Ketuanan Melayu, berlebihan dalam identiti, agama Melayu, tempat Melayu bernaung, tempat Melayu berpayung etc etc hanya hujah tanpa putus yang sebenarnya tidak mempunyai pangkalnya pun.  Ia hanya kekalkan Melayu dalam khayal, angan-angan dan mungkin juga angau-angau pungguk rindukan bulan.

Jom kita fast forward ke bab terakhir.  Segala cita-cita orang Melayu masih nampak jauh. Atau makin jauh. Mungkin tidak akan tercapai. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Apa penyelesiaiannya? Apa solutionnya?  
Inilah soalan cepu mas. Dan jawapannya paling mudah sekali.
Jawapannya : Buat saja apa yang orang yang sudah berjaya buat.

Jangan bezakan diri daripada manusia lain. 
Kalau Cina membuka kedai pada pukul lapan pagi, orang Melayu pun kena buka kedai pada pukul lapan pagi. Atau pada pukul tujuh pagi. Orang Melayu mesti bersaing. Tidak ada cara lain.

Jangan asingkan diri daripada realiti di persekitaran.
Kalau "dasar-dasar" yang telah dibentuk sejak 50 tahun TIDAK BERHASIL atau BERJAYA, tukarlah dasar.  Nak tunggu berapa generasi dunggu lagi?


Jangan  cuba  membuat tayar segi empat (square tyre).
Jika negara maju boleh terus maju dengan rahsia keterbukaan (bebas bersuara, beragama, sistem ekonomi bebas, sistem pasaran terbuka)  jangan pula orang Melayu mencari rahsia baru dengan mengharamkan kebebasan bersuara, haramkan kebebasan dalam agama, kekalkan sistem ekonomi tertutup atau terkawal dan sistem pasaran tertutup, terkawal, berlesen, ber AP dan sebagainya. Inilah square tayar atau tayar segi empat. Takkan ke mana pun.

Jangan jangan cuba mencipta semula roda bulat (reinvent the wheel).
Tidak perlulah guna istilah "Arab" untuk menghalalkan perbankan. Interest rate ditukar jadi profit rate. Menipu manusia saja. Guna sajalah perbankan konvensional. Tidak menipu orang. Tidak perlulah Dewan Bahasa sibuk masukkan perkataan Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Original jadi ori. Illusion jadi Ilusi. Scientific jadi saintifik. Complex jadi komplex. Photocopy jadi fotokopi. Secondary jadi sekunder. Cakap sajalah bahasa Inggeris. Anak muda kita akan mempunyai lebih banyak peluang hidup. Bahasa Melayu tulen jadi perbualan lebih kurang 20 juta orang Melayu seluruh dunia.  250 juta warga Indonesia mempunyai 300 bahasa asli mereka. Bahasa rasmi Indonesia juga membutuhkan bahasa Belanda, dan sekarang Inggeris. Maksudnya bahasa Melayu sangat ekslusif - menjadi pertuturan kurang lebih 20 juta manusia saja. Penduduk dunia sekarang menghampiri LAPAN BILION manusia. 

Orang Melayu mesti mencampuri, bergaul dengan, menjadi sebahagian daripada sistem alam nyata atau the real world disekitar kita.  Sistem alam nyata yang berjaya atau successful yang telah proven membawa kemajuan, keselesaan dan kegembiraan kepada berbilion manusia di atas muka bumi Allah ini.  Ikut saja apa negara maju buat. 

Apa maksudnya membuat "ikut acuan kita sendiri"?
Itu semua hanya cakap kosong oleh orang yang tidak faham apa pun berkenaan apa pun.

Kalau tak pernah bakar kek dalam oven, buat karipap atau biskut habis macam mana pula boleh tahu buat acuan yang lebih baik dan terbaik daripada orang lain yang sudah pun proven keknya sedap, karipap nya first class dan biskut mereka sudah menerokai pasaran dunia?  Berlagak besar kepala saja, yang lagi besar daripada kepala gajah.

Bagi saya sesiapa yang menghalang orang Melayu daripada bersaing mereka itu adalah musuh dan penderhaka bangsa Melayu. Orang Melayu mesti belajar bersaing secara terbuka tanpa takut atau tongkat. 

Daya saing atau competition adalah realiti terbesar dalam dunia yang nyata.  Kalau orang Melayu tidak bersaing, kalaulah orang Melayu dilindungi, dihalangi, dibuaikan, dipayungi, di"naungi", di "tuankan" daripada bersaing dengan manusia lain - saya ucapkan Selamat Kembali Ke Gua Telinga untuk membuat lukisan baru atas batu.  





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.