`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 7, 2022

Hantar penjawat awam bermasalah ke Sabah, Sarawak hanya persepsi, kata menteri

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad berkata, pertukaran pegawai awam itu melibatkan pusingan kerja dan kenaikan pangkat.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad menyangkal dakwaan bahawa wujudnya satu kelaziman mengenai penghantaran kakitangan awam persekutuan yang bermasalah ke Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak tepat dan hanyalah berdasarkan persepsi semata-mata.

“Pada masa ini, pertukaran pegawai awam dilaksanakan atas sebab pusingan kerja dan kenaikan pangkat serta mengambil kira Dasar Perpaduan Negara dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang berteraskan pengukuhan perpaduan kaum dan integrasi nasional,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang mempersoalkan justifikasi tindakan kerajaan yang dikatakan secara lazimnya menghantar kakitangan awam persekutuan yang bermasalah ke kedua-dua negeri berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi memaklumkan sembilan anggota polis yang sedang disiasat kerana dipercayai terlibat kes peras ugut akan ditukarkan ke Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu mengundang kemarahan termasuk Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis yang menganggap Sabah dan Sarawak bukanlah “tong sampah” untuk mana-mana orang yang bermasalah.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin turut berkata, tindakan menukar anggota polis dan penjawat awam bermasalah serta berdepan isu salah laku ke Sabah dan Sarawak adalah langkah tidak betul.

Beliau berkata, tidak semua penjawat awam berdepan masalah salah laku dan disiplin akan ‘dilonggokkan’ di Sabah dan Sarawak, sebaliknya ada yang dihantar ke setiap negeri di seluruh Malaysia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.