`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 23, 2023

4 beradik bersanding serentak, lebih jimat, lagi meriah

 

Empat beradik bersama ibu bapa mereka Mazlan Muskon, 56, dan Misnah Sulaiman, 51 pada majlis perkahwinan yang dijalankan serentak di Tongkang Pechah, Batu Pahat, hari ini. (Gambar Bernama)

BATU PAHAT: Bagi sepasang suami isteri, tiada yang lebih membahagiakan selain melihat keempat-empat anak mereka bersanding serentak dan menyambut semua menantu dalam satu majlis yang amat meriah di Taman Bistari, Tongkang Pechah.

Itulah perasaan Mazlan Muskon, 56, dan Misnah Sulaiman, 51, apabila empat anak mereka membuat keputusan untuk mengadakan satu majlis sahaja bagi meraikan perkahwinan masing-masing kerana mahukan kenduri yang lebih meriah selain ingin berjimat.

“Ternyata majlis jadi lebih meriah apabila ramai yang hadir, bukan sahaja kenalan dan keluarga kami malah pihak pasangan keempat-empat anak saya juga hadir,” kata Mazlan kepada pemberita semasa majlis perkahwinan di kediamannya.

Katanya langkah itu menjimatkan kos keseluruhan majlis seperti mendapatkan khidmat untuk pelamin, katering, dan jurugambar.

Mazlan dan Misnah sentiasa menerapkan konsep berjimat kepada anak-anaknya dengan menggalakkan mereka menabung sejak kecil.

“Malah sebahagian perbelanjaan untuk majlis perkahwinan ini turut ditampung oleh duit tabungan yang mereka kumpul semenjak awal lagi.

“Sekitar RM40,000 dapat dijimatkan apabila majlis ini dilaksanakan serentak,” kata Mazlan.

Muhammad Amiruddin Mazlan, 25, pula berkata beliau dan adik-adiknya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka secara serentak sejak Mei tahun lepas, serta bersyukur ia dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik tu berkata antara cabaran yang dihadapi mereka ialah mendapat kesepakatan dalam memilih tema pakaian, pelamin, dan tarikh bersanding.

“Pada mulanya, agak sukar untuk memilih tarikh kerana cuti masing-masing berbeza namun akhirnya kami sepakat memilih hari ini kerana cuti sempena Tahun Baharu Cina,” kata pekerja kilang itu.

Selain Muhammad Amiruddin dan pasangannya, Siti Nur Shahiera Mas Dery, 27; majlis itu menyaksikan persandingan Muhammad Fahmi Fakhruddin, 23, bersama Siti Aishah Sabtu, 24; Muhammad Erwan Azharizam, 22 bersama Wan Nur Hayati Meor Ahmad, 23; dan adik bongsu mereka iaitu Nur Aisyah Azrina, 21, bersama Muhammad Aidiel Ashraff Khairul Nizam, 24.

EXCO Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, yang hadir pada majlis itu, menyifatkan ia suatu inisiatif yang unik.

“Pada saya, ini adalah pengalaman pertama menghadiri majlis persandingan perkahwinan yang dijalankan serentak dengan empat pasangan sekali gus, bukan mudah untuk melaksanakannya kerana memerlukan kesepakatan dan semangat perpaduan daripada beberapa keluarga,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.