PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii dan bekas speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat dilantik secara rasmi sebagai setiausaha politik kepada menteri.
Razlan dan Suhaizan hari ini mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.
“Amanah yang digalas bukan mudah, namun kepercayaan ini akan jaga dengan penuh tanggungjawab.
“Semoga Allah SWT memberikan perlindungan kepada kami semua,” kata Razlan di Facebook.
Terdahulu, mereka dan setiausaha-setiausaha politik menteri yang lain bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin mengangkat sumpah di hadapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
Sebelum itu, Anwar hadir pada majlis angkat sumpah simpan rahsia melibatkan 13 setiausaha politik kepada menteri di Putrajaya pagi tadi.
“Semoga mereka dapat laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan baik dan penuh tawaduk,” katanya di Facebook.
Selain Razlan dan Suhaizan, anak ketua menteri Sabah Mohd Ghazali Hajiji dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali
Bekas ketua wanita PKR Johor Napsiah Khamis pula dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa.
Minggu lalu 10 setiausaha politik menteri mengangkat sumpah antaranya bekas ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong (menteri pembangunan kerajaan tempatan) dan ADUN Bakar Arang Ooi Tze Min (menteri sains, teknologi dan inovasi). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.