`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 4, 2023

Hak BNM tentukan OPR, kerajaan tak campur tangan, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata, hak dan kuasa yang memberi kesan kepada ekonomi telah diberi pengkhususan masing-masing seperti termaktub dalam peraturan dan undang-undang.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai hak dan kuasa membuat keputusan berkaitan kadar dasar semalaman (OPR) tanpa perlu campur tangan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, hak dan kuasa yang memberi kesan kepada ekonomi negara telah diberi pengkhususan masing-masing seperti termaktub dalam peraturan dan undang-undang.

“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tapi itu adalah ‘wenang’ (kuasa) Bank Negara Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Anwar menjawab soalan berhubung impak dan tindakan Kementerian Kewangan, susulan jangkaan kenaikan OPR sebanyak dua kali oleh BNM.

Menurutnya, BNM diberi mandat mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan berterusan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, perbincangan bersama yang membabitkan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan dilakukan sebelum merangka Belanjawan 2023.

“Saya undang gabenor Bank Negara, menteri ekonomi untuk berbincang sekali.

“Saya ingat pendekatan ini yang saya pernah lakukan dulu. Saya tidak asing kerana tindakan mana-mana pihak itu akan juga melibatkan dasar ekonomi keseluruhannya,” katanya.

Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini pada sidang pertama Parlimen ke-15. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.