`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 10, 2023

Kejar ‘pahala’ tapi lupa toleransi, pengurusan masjid tegur jemaah

 

Tangkap layar video tular memaparkan sikap segelintir jemaah solat Jumaat yang meletakkan kenderaan berlapis sehingga menyusahkan pengguna lain di Masjid Seksyen 7 Shah Alam. (gambar media sosial)

PETALING JAYA: Jemaah yang menaiki kereta untuk ke masjid terutama ketika solat Jumaat dinasihatkan untuk lebih bertoleransi dan tidak mementingkan diri ketika meletakkan kenderaan, kata Pengurus Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Muhammad Faaiz Hamzah.

Ia susulan tindakan segelintir jemaah yang meletakkan kenderaan secara berlapis ketika solat Jumaat hingga mengganggu lalulintas dan menyusahkan orang lain.

“Baikilah akhlak dan sikap kita agar lebih bertimbang rasa pada orang lain. Kita mengejar ‘pahala’ yang boleh selamatkan diri kita di akhirat, tetapi kita lupa sikap toleransi dan rahmah sesama insan itu juga perlu,” katanya ketika dihubungi.

Video yang memaparkan kesesakan di hadapan Masjid Seksyen 7 Shah Alam, tular di Twitter sejak Jumaat lalu yang memaparkan beberapa kenderaan dipercayai milik beberapa jemaah mengganggu laluan lalu lintas.

Faaiz berkata, isu kekurangan tempat letak kenderaan ketika solat Jumaat adalah isu kebanyakan masjid dan surau akan hadapi dan Masjid Seksyen 7 Shah Alam tidak terkecuali.

“Mereka (jemaah) akan menghadapi kesukaran mencari tempat letak kenderaan sehingga terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis-lapis.

“Biarpun begitu, mereka yang meletak kereta sedemikian perlu mempunyai sikap toleransi dan akhlak yang baik dengan tidak mementingkan diri sendiri. Segelintirnya gemar keluar lewat dari masjid selepas solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, sikap sedemikian menyebabkan pengguna jalan raya yang lain menjadi mangsa keadaan.

Sehubungan itu Faaiz berkata, bagi menangani masalah tersebut pihak masjid akan menambah bilangan anggota Rela supaya kecekapan mengendalikan kawasan tempat letak kereta berlapis ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan terkawal.

“Pihak masjid juga akan memberi peringatan kepada jemaah yang meletakkan kenderaan berlapis untuk keluar lebih awal,” katanya yang turut memaklumkan pihak Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) akan membantu menangani masalah itu.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter, @Hfizbhrdin memuat naik video memaparkan kesesakan di hadapan masjid berkenaan, berserta kapsyen kurang senang dengan tindakan segelintir jemaah yang meletakkan kenderaan berlapis sehingga menyebabkan kenderaan lain termasuk sebuah bas terpaksa menunggu kereta dialihkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.