`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 1, 2023

KPM komited elak risiko murid cicir, kata Fadhlina

 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata sifar keciciran menjadi antara matlamat utama demi memastikan hak setiap anak bangsa memperoleh kesaksamaan pendidikan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau dan melakukan intervensi ke atas murid berisiko cicir agar golongan itu terus kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan hak setiap anak bangsa memperoleh kesaksamaan pendidikan dicapai walau di mana berada.

“KPM amat prihatin akan masalah pendidikan khasnya isu keciciran dalam kalangan pelajar dan sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran,” lapor Bernama.

Dalam perutusan Tahun Baharu menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, proses pencarian, pembinaan serta pengumpulan ilmu wajib dijadikan budaya penerokaan yang bersifat membina otak dan watak.

Justeru katanya, tujuh teras utama yang menjadi tumpuan KPM dalam mengemudi sistem pendidikan negara memerlukan sinergi antara guru, murid, ibu bapa serta komuniti yang merupakan kunci kejayaan pendidikan masa depan.

Teras terbabit ialah komunikasi cekap dan telus antara kementerian serta sekolah; memberi penekanan kepada aspek keramahan insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti; kemiskinan berbilang dimensi B40; keciciran pendidikan dan masalah literasi; kebajikan guru; ubah suai dan naik taraf sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak serta peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah.

Walaupun landasan sistem pendidikan yang diwarisi ketika ini telah melalui beberapa siri pemurniaan, Fadhlina berkata, warga pendidik tidak boleh berkompromi dalam memastikan tekad beban guru dikurangkan dan kesejahteraan murid diraih secara menyeluruh.

“Pendekatan untuk mengekalkan dasar sedia ada diangkat dan ditambah baik dengan pemantauan di peringkat implementasi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.