PETALING JAYA: Pendidikan dan pengupayaan sumber manusia menjadi cabaran utama bagi menjayakan kerangka dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pendidikan sama ada formal atau tidak formal penting bagi memastikan asas yang terkandung dalam Malaysia Madani dapat dijayakan.
“Di peringkat formal, sekolah perlu memperbanyakkan kokurikulum tentang kebersamaan walaupun kita sudah banyak.. tapi perlu dirintis lebih banyak perkara-perkara yang bersifat perpaduan
“Pendidikan tidak formal yang lebih penting bagaimana pendidikan ibu bapa terhadap anak-anak, rakan sebaya menceritakan kebersamaan, menolak Islamofobia,” katanya pada program Agenda Awani
Faisal berkata, pengupayaan sumber manusia turut menjadi cabaran dasar berkenaan yang mampu dijayakan dengan pelaksanaan konsep daya cipta yang merupakan salah satu teras utama kerangkanya.
Katanya, konsep daya cipta itu penting bagi memberikan keupayaan kepada anak muda untuk berinovasi yang seterusnya mengubah nasib negara daripada sekadar menjadi pengguna kepada pencipta.
“Dalam konteks ini kita bukan lagi konsumer. Ia akan terkait dengan persoalan ‘brain drain’, infrastruktur yang membolehkan mereka ini diberdayakan… kemudian ia terkait juga dengan isu-isu berkait ketelusan,” katanya menjelaskan kepentingan konsep daya cipta dalam Malaysia Madani.
Pada masa yang sama Faisal turut menekankan mengenai elemen kebudayaan dalam pendidikan di negara ini seperti yang diamalkan di Indonesia.
Jelasnya, kebudayaan tidak harus hanya dilihat kepentingannya dari sudut komersial namun sebagai penerapan dalam pendidikan negara sebagai sebahagian daripada idea tempatan bagi menyelesaikan isu-isu di negara ini.
Khamis lalu, perdana menteri memperkenalkan konsep ‘Malaysia Madani’ sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.
Madani terdiri daripada enam teras utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan yang menyentuh tentang pembinaan masa depan negara dengan potensi rakyat dan negara yang dipenuhi. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.