PETALING JAYA: Seorang peniaga warung dihukum penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan sumbang mahram dan satu pertuduhan seks luar tabii terhadap anak tirinya sejak dua tahun lepas.
Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 29 Disember lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan sumbang mahram dan penjara lima tahun serta satu sebatan bagi kesalahan seks luar tabii. Semua hukuman penjara diarahkan berjalan serentak, menurut laporan Bernama.
Tertuduh didakwa atas tiga tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tirinya ketika kejadian berusia 12 tahun di sebuah rumah di Jempol, kira-kira jam 8 malam dan 2 pagi, antara 1 Januari hingga 31 November 2021.
Bagi tiga lagi pertuduhan, dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah warung di Jempol, pada jam 8 malam, antara 11 April 2021 hingga 10 Disember lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
Tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii di warung sama pada 8 malam, 11 April 2021. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dirogol enam kali oleh bapa tirinya sepanjang tempoh berkenaan, dengan kali terakhir pada 10 Disember lepas.
Mangsa adalah anak hasil perkahwinan pertama ibunya yang berusia 48 tahun sebelum berkahwin dengan tertuduh pada 2014.
Mangsa hanya memaklumkan kejadian berkenaan kepada kakaknya pada 25 Disember lalu kerana takut kepada tertuduh sebelum dibawa membuat laporan polis empat hari kemudian. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.